Skip to main content

Dunia

Pembunuhan Ann Widdecombe disiasat sebagai tindakan keganasan - Polis UK

 A picture of former government minister and Reform UK member Ann Widdecombe, who was found dead at her home in Haytor on Thursday, is displayed at St. Pancras Church, in Widecombe-in-the-Moor, Britain, July 12, 2026. REUTERS/Jack Taylor/File Photo
Pegawai antikeganasan menahan semula seorang lelaki warga Britain berusia 28 tahun kerana disyaki terbabit dalam pelakuan, persediaan atau menghasut tindakan keganasan dan kini mengetuai siasatan berhubung kematian Widdecombe (gambar). REUTERS

LONDON: Pembunuhan ahli politik veteran Britain Ann Widdecombe, kini diklasifikasikan sebagai tindakan keganasan, menurut polis pada Isnin, lapor PA Media/dpa.

Bekas menteri Parti Konservatif yang kemudiannya menjadi jurucakap Reform United Kingdom (UK) itu ditemukan maut di kediamannya di Haytor, Dartmoor pada Khamis selepas mengalami kecederaan parah.

Pegawai antikeganasan menahan semula seorang lelaki warga Britain berusia 28 tahun kerana disyaki terbabit dalam pelakuan, persediaan atau menghasut tindakan keganasan dan kini mengetuai siasatan berhubung kematian Widdecombe.

Terdapat maklumat serta bukti baharu yang diperoleh sepanjang siasatan dijalankan.

Ketua Polis Antikeganasan Kebangsaan Laurence Taylor berkata: "Berdasarkan kemajuan yang dicapai oleh rakan sekerja kami iaitu anggota Polis Devon dan Cornwall, kami kini mempunyai maklumat dan bukti baharu yang menyebabkan Polis Antikeganasan mengambil alih siasatan ini.

"Kami sedang menjalankan pelbagai siasatan bagi mengenal pasti motif serangan ini.

"Keutamaan kami ialah mempercepatkan siasatan ini dengan menggunakan segala keupayaan yang kami ada. Jika sesiapa mempunyai sebarang maklumat, sila salurkan kepada pihak polis.

"Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada komuniti setempat, orang ramai dan pihak media atas sokongan serta kesabaran yang berterusan dan berharap mereka akan terus memberikan kerjasama pada peringkat siasatan seterusnya," katanya.

-- BERNAMA-PA MEDIA/dpa

 

 

Must Watch Video

Advertisement