SANAA: Kebimbangan terhadap tercetusnya semula konflik berskala besar di Yaman semakin meningkat selepas kerajaan yang diiktiraf antarabangsa melancarkan serangan ke atas Lapangan Terbang Antarabangsa Sanaa bagi menghalang sebuah pesawat Iran daripada mendarat, manakala kumpulan pemberontak Houthi bertindak balas dengan melancarkan peluru berpandu ke arah Arab Saudi.
Menurut kenyataan kerajaan Yaman, pasukan tentera telah mengebom landasan lapangan terbang Sanaa pada Isnin bagi menghalang pendaratan sebuah pesawat yang membawa delegasi Houthi dari Iran.
Kerajaan mendakwa tindakan itu diambil selepas Houthi memaksa pesawat Iran memasuki ruang udara Yaman walaupun tidak mendapat kebenaran pihak berkuasa.
“Milisia pengganas Houthi yang disokong rejim Iran menghalang pesawat nasional Yaman daripada mendarat di lapangan terbang ibu negara, Sanaa, dan berkeras membenarkan pesawat Iran melanggar ruang udara Yaman. Oleh itu, landasan lapangan terbang telah menjadi sasaran,” menurut kenyataan kerajaan.
Sebelum serangan dilakukan, Kementerian Pertahanan Yaman telah mengeluarkan amaran kepada orang awam, pekerja lapangan terbang, misi diplomatik dan organisasi kemanusiaan supaya segera meninggalkan kawasan lapangan terbang serta persekitarannya sehingga diberitahu kelak.
Bagaimanapun, kumpulan Houthi kemudian memaklumkan bahawa pesawat yang membawa delegasi mereka dari Tehran berjaya mendarat di bandar pelabuhan Hodeidah di pantai Laut Merah.
Penyiar milik Houthi, Al-Masirah, memetik Menteri Pengangkutan pentadbiran Houthi sebagai berkata pesawat Iran itu membawa beberapa pesakit yang memerlukan rawatan serta rakyat Yaman yang terkandas di luar negara.
“Pesawat Iran telah mendarat di bumi tanah air dengan membawa sejumlah pesakit serta rakyat yang terkandas, bersama delegasi rasmi Republik Yaman,” katanya.
Houthi menyalahkan Arab Saudi atas serangan ke atas lapangan terbang tersebut dan memberi amaran bahawa tindakan balas akan diambil.
Jurucakap ketenteraan Houthi, Yahya Saree, berkata serangan itu tidak akan dibiarkan tanpa tindak balas.
“Pencerobohan ini tidak akan dibiarkan tanpa balasan atau hukuman,” katanya.
Iran turut mengecam serangan itu. Jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmaeil Baghaei, menyifatkannya sebagai pelanggaran jelas terhadap undang-undang antarabangsa, Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta kedaulatan Yaman.
Setakat ini, pihak berkuasa Arab Saudi belum mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai dakwaan tersebut.
Dalam perkembangan berkaitan, pakatan tentera pimpinan Arab Saudi memaklumkan sistem pertahanan udaranya berjaya memintas beberapa peluru berpandu balistik yang dilancarkan Houthi ke arah wilayah selatan Arab Saudi pada Isnin malam.
Jurucakap pakatan itu, Turki al-Maliki, berkata ancaman peluru berpandu tersebut berjaya dipatahkan sebelum mencapai sasaran.
Tidak lama kemudian, Houthi mengumumkan bahawa mereka telah melancarkan operasi ketenteraan yang menyasarkan Lapangan Terbang Antarabangsa Abha di selatan Arab Saudi menggunakan peluru berpandu balistik dan dron.
Saree turut menggesa semua syarikat penerbangan supaya mengelakkan ruang udara Arab Saudi sehingga apa yang disifatkannya sebagai sekatan terhadap Lapangan Terbang Antarabangsa Sanaa ditamatkan.
Ketegangan antara kedua-dua pihak semakin meningkat sejak awal bulan ini apabila Houthi mendakwa Arab Saudi menyerang sebuah pesawat Iran yang mendarat di Sanaa sebelum berlepas semula dengan membawa delegasi kumpulan itu.
Pada ketika itu, Houthi mengancam untuk menyerang lapangan terbang dan infrastruktur penting Arab Saudi sekiranya Riyadh terus mencabuli ruang udara Yaman atau melancarkan serangan baharu.
Menteri Penerangan kerajaan Yaman yang diiktiraf antarabangsa, Moammar al-Eryani, turut mendakwa Houthi telah menahan sebuah pesawat milik Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC) di Lapangan Terbang Sanaa bersama juruterbang dan pembantu juruterbangnya.
Sementara itu, Menteri Pertahanan Yaman berkata kerajaan telah menggunakan pelbagai saluran diplomatik untuk memujuk Iran dan Houthi menghentikan apa yang disifatkannya sebagai pelanggaran ruang udara negara oleh pesawat Iran.
Beliau memberi amaran bahawa pihak tentera akan bertindak terhadap mana-mana pesawat yang melanggar ruang udara Yaman menggunakan “semua cara yang ada”, sambil meletakkan tanggungjawab ke atas Iran.
Konflik Yaman bermula selepas Houthi menawan ibu negara Sanaa pada 2014 sebelum pakatan tentera yang diterajui Arab Saudi campur tangan pada 2015 bagi menyokong kerajaan yang digulingkan.
Peperangan itu telah mengorbankan ribuan nyawa, menyebabkan berjuta-juta penduduk kehilangan tempat tinggal dan mencetuskan salah satu krisis kemanusiaan paling buruk di dunia.
Utusan Khas PBB ke Yaman, Hans Grundberg, menyuarakan kebimbangan terhadap peningkatan ketegangan itu dan menggesa semua pihak supaya mengelakkan tindakan yang boleh membawa kepada kitaran baharu keganasan.
“Kami menggesa semua pihak meredakan keadaan dan menahan diri daripada sebarang tindakan yang boleh mencetuskan semula konflik bersenjata di Yaman,” katanya.