Skip to main content

Malaysia

APMM pupuk kesedaran keselamatan maritim dalam program jelajah Wira MADANI PDRM

61748652560_APMMsindiketselud.jpg
Muhammad Sufi berkata penyertaan berkenaan membuka ruang interaksi secara langsung dengan komuniti memandangkan negeri kepulauan itu dikelilingi perairan komersial dan strategik. - Foto fail

GEORGE TOWN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) memanfaatkan penyertaan sebagai pempamer khas dalam Program Jelajah Wira MADANI Peringkat Kontinjen Polis Diraja Malaysia (PDRM) Pulau Pinang bagi memperkukuh kesedaran masyarakat mengenai keselamatan maritim dan memperkenal peranan serta fungsi agensi itu kepada orang ramai.

Pengarah APMM Pulau Pinang Kapten Maritim Muhammad Sufi Mohd Ramli berkata penyertaan berkenaan membuka ruang interaksi secara langsung dengan komuniti memandangkan negeri kepulauan itu dikelilingi perairan komersial dan strategik.

"Melalui reruai pameran yang disediakan, pengunjung berpeluang melihat dengan lebih dekat replika aset laut Maritim Malaysia, persenjataan rasmi, set peralatan menyelam bagi operasi mencari dan menyelamat serta kelengkapan pemeriksaan kapal yang digunakan dalam operasi penguatkuasaan di laut.

"Program itu juga menjadi platform untuk memberi pendedahan kepada golongan belia mengenai peluang kerjaya dalam bidang keselamatan dan penguatkuasaan maritim," menurutnya dalam kenyataan.

Program Jelajah Wira MADANI Peringkat Kontinjen PDRM Pulau Pinang itu dirasmikan oleh Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay di Pasukan Polis Marin Wilayah 1 di Batu Uban pada Isnin.

Sepanjang program itu, APMM turut melaksanakan kempen kesedaran keselamatan di laut yang menyasarkan komuniti maritim termasuk nelayan, pengusaha bot pelancongan dan penggiat sukan air.

APMM turut mengadakan advokasi mengenai ancaman jenayah rentas sempadan seperti penyeludupan dadah, pencerobohan bot asing dan pemerdagangan manusia bagi meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap kepentingan menjaga keselamatan perairan negara.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement