Skip to main content

Dunia

Trump ugut serang kemudahan nuklear ‘Pickaxe Mountain’, AS teruskan serangan ke atas Iran

X @CENTCOM
Menggunakan beberapa dron serangan sehala (*one-way attack drones*), pasukan Komando Pusat Amerika Syarikat (CENTCOM) melancarkan serangan ke atas sebuah kemudahan penyelenggaraan kapal selam dan kapal milik Iran. - Foto X/CENTCOM

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, mengancam untuk menyerang sebuah kemudahan nuklear Iran yang dikenali sebagai 'Pickaxe Mountain' ketika ketegangan ketenteraan antara Washington dan Tehran terus meningkat.

Dalam wawancara bersama hos radio konservatif, Hugh Hewitt, Trump berkata operasi ketenteraan AS terhadap Iran berkemungkinan berterusan untuk tempoh dua hingga tiga minggu lagi.

Beliau turut menyasarkan kemudahan bawah tanah Iran yang dikenali secara rasmi sebagai 'Kuh-e Kolang Gaz La', atau lebih popular dengan gelaran 'Pickaxe Mountain'.

“Kami akan memusnahkan Pickaxe Mountain. Beritahu pihak Iran supaya bersedia. Tiada apa yang mereka boleh lakukan untuk menghalangnya,” kata Trump.

Beliau turut menyifatkan lokasi itu sebagai “sasaran berpotensi untuk satu serangan besar tepat di pintu masuknya”.

Kemudahan berkenaan dipercayai merupakan antara tapak nuklear paling berkubu di Iran, yang dibina jauh di dalam Banjaran Zagros di tengah negara itu bagi melindunginya daripada serangan udara.

Ancaman terbaru Trump hadir ketika tentera AS mengumumkan satu lagi gelombang serangan terhadap sasaran di Iran.

Komando Pusat AS (CENTCOM) dalam kenyataan menerusi platform X memaklumkan bahawa serangan tersebut dijalankan atas arahan presiden.

“Serangan ini akan terus mengenakan kos yang tinggi kepada pasukan Iran serta melemahkan keupayaan mereka untuk menyerang orang awam dan perkapalan komersial di Selat Hormuz,” menurut kenyataan itu.

 

 

CENTCOM bagaimanapun tidak memberikan butiran lanjut mengenai lokasi dan skala serangan yang dilancarkan.

Dalam perkembangan berkaitan, televisyen kerajaan Iran melaporkan beberapa letupan berlaku di bandar pelabuhan Bandar Abbas serta di Pulau Kish, dua lokasi penting yang terletak berhampiran Teluk Parsi.

Setakat ini, pihak berkuasa Iran belum mengeluarkan maklumat rasmi mengenai punca letupan atau tahap kerosakan yang berlaku.

Pertikaian antara AS dan Iran semakin memuncak susulan beberapa siri serangan balas yang berlaku dalam beberapa hari kebelakangan ini, mencetuskan kebimbangan masyarakat antarabangsa terhadap kemungkinan konflik lebih besar di Asia Barat.

Penganalisis keselamatan memberi amaran bahawa sebarang serangan terhadap kemudahan nuklear strategik Iran berpotensi meningkatkan risiko konfrontasi secara langsung antara kedua-dua negara, sekali gus menjejaskan kestabilan serantau dan perdagangan global, khususnya di kawasan Selat Hormuz yang menjadi laluan utama penghantaran minyak dunia.
 

Must Watch Video

Advertisement