Skip to main content

Malaysia

MBAS nafi dakwaan premis diusahakan warga asing seperti dalam video tular

MBAS
Datuk Bandar Alor Setar Datuk Abdul Gafar Yahya berkata susulan dakwaan itu, satu pemeriksaan telah dijalankan oleh Bahagian Kawalan Penyakit, Promosi Kesihatan dan Inspektorat Kesihatan Persekitaran, Bahagian Pelesenan dan Bahagian Penguat Kuasa MBAS bersama Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kota Setar pada 9 Julai.

ALOR SETAR: Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) menafikan video tular yang mendakwa sebuah premis di Jalan Langgar, dekat sini diusahakan warga asing.

Datuk Bandar Alor Setar Datuk Abdul Gafar Yahya berkata susulan dakwaan itu, satu pemeriksaan telah dijalankan oleh Bahagian Kawalan Penyakit, Promosi Kesihatan dan Inspektorat Kesihatan Persekitaran, Bahagian Pelesenan dan Bahagian Penguat Kuasa MBAS bersama Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kota Setar pada 9 Julai.

Beliau berkata pekerja yang berada di dalam premis serta di kaunter hadapan semasa pemeriksaan adalah warganegara Malaysia dan PKD Kota Setar juga tidak mengambil sebarang tindakan terhadap premis berkenaan kerana tiada kesalahan yang berlaku di bawah bidang kuasa mereka.

“Semakan juga mendapati premis tersebut mempunyai lesen perniagaan yang sah dikeluarkan oleh MBAS,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun katanya, MBAS telah mengesan satu kesalahan, iaitu pemilik premis telah meletakkan barang niaga di hadapan premis tanpa permit.

“Kesalahan tersebut adalah di bawah perenggan 25 (2) Undang-Undang Kecil Pelesenan Establisymen Makanan (MPKS) 1989, iaitu meletakkan barang niaga di siar kaki tanpa permit.

“MBAS sentiasa komited menjalankan pemeriksaan dan penguatkuasaan secara adil serta berdasarkan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa. Orang ramai juga dinasihatkan agar tidak menyebarkan maklumat yang tidak sahih dan sentiasa mendapatkan maklumat daripada sumber rasmi,” katanya.

Terdahulu, tular satu video memaparkan sebuah kedai runcit di tengah bandar raya ini yang didakwa diusahakan warga asing etnik Rohingya dan individu berkenaan meminta MBAS memberi penjelasan kerana merasakan pihak majlis tidak mengambil sebarang tindakan terhadap perkara itu.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement