Skip to main content
Advertisement

Malaysia

Polis selesai rekod keterangan penduduk Orang Asli temukan Jaslinda

TAPAH, 6 Jun -- Kegembiraan dan kelegaan jelas terpancar pada wajah ahli keluarga pendaki wanita, Jaslinda Saludin, 49, ketika menyambut kepulangannya di Hospital Tapah malam ini selepas beliau ditemui selamat susulan kejadian ketika mendaki Gunung Batu Putih.  Jaslinda tiba di hospital kira-kira 9.20 malam untuk menjalani pemeriksaan lanjut selepas operasi mencari dan menyelamat berjaya menemukan beliau dalam keadaan selamat.  -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Jaslinda ditemukan selamat oleh sekumpulan penduduk Orang Asli di kawasan hutan berhampiran Kampung Lubuk Gaharu, kira-kira 5 petang semalam sebelum dibawa keluar untuk mendapatkan rawatan. - Foto fail/BERNAMA

TAPAH: Polis telah selesai merekodkan keterangan beberapa penduduk Orang Asli yang menemukan pendaki wanita, Jaslinda Saludin, 49, di kawasan hutan berhampiran Kampung Lubuk Gaharu, Pos Musoh dekat sini semalam.

Ketua Polis Daerah Tapah Supt Abdul Malik Hasim berkata individu yang dirakam keterangan termasuk Nazri Bah Eng, 51, bersama dua rakannya yang membantu menyelamatkan Jaslinda selepas 14 hari dilaporkan hilang di kawasan Gunung Batu Putih.

Beliau berkata keterangan itu penting bagi membantu siasatan dan mendapatkan gambaran lengkap mengenai keadaan serta lokasi wanita itu ketika ditemukan.

“Pada masa sama, polis sedang menunggu keadaan Jaslinda stabil bagi membolehkan keterangannya direkodkan untuk melengkapkan siasatan kes,” katanya ketika dihubungi.

Abdul Malik berkata Jaslinda masih dirawat di Hospital Tapah dan pihaknya dimaklumkan wanita itu mengalami kecederaan pada bahagian buku lali kiri.

Jaslinda dilaporkan hilang ketika menjalankan aktiviti pendakian di kawasan Gunung Batu Putih pada 24 Mei lepas sebelum operasi mencari dan menyelamat (SAR) berskala besar digerakkan melibatkan pelbagai agensi keselamatan serta sukarelawan.

Mangsa ditemukan selamat oleh sekumpulan penduduk Orang Asli di kawasan hutan berhampiran Kampung Lubuk Gaharu, kira-kira 5 petang semalam sebelum dibawa keluar untuk mendapatkan rawatan.

Jaslinda dilaporkan menyertai pendakian bersama 13 pendaki lain dan dua Malim Gunung Perhutanan (MGP) menerusi laluan Trans Spencer Chapman yang bermula pada 2 pagi, 23 Mei melalui laluan Pos Gedung-Gunung Bah Gading-Gunung Batu Putih-Kuala Woh.

Jaslinda dan seorang lagi pendaki, Mohd Hanafi Neikmad, 41, dilaporkan mengalami masalah kesihatan dan berhenti mendaki namun eksekutif rantaian bekalan di sebuah syarikat swasta itu dipercayai meneruskan perjalanan ke puncak sebelum kali terakhir dilihat pada 24 Mei. 

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement