Skip to main content

Malaysia

Polis gesa pemilik banglo semak latar belakang penyewa cegah sindiket penipuan

GEORGE TOWN, 22 Jun -- Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Dennis Lim Kwang Keng mengadakan sidang media selepas menghadiri Majlis Amanat bersama Pegawai-pegawai Polis di Mess Pegawai Kanan, Jalan Lahat hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Lim berkata pemilik juga perlu mendapatkan maklumat lengkap mengenai penyewa, termasuk membuat semakan melalui ejen hartanah sekiranya urusan penyewaan dikendalikan pihak ketiga. - Gambar fail/Bernama

GEORGE TOWN: Polis Pulau Pinang menggesa pemilik rumah, khususnya banglo yang disewakan supaya membuat semakan latar belakang penyewa secara lebih teliti bagi mengelakkan premis mereka disalah guna sebagai pusat operasi sindiket jenayah penipuan dalam talian.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Dennis Lim Kwang Keng berkata pemilik juga perlu mendapatkan maklumat lengkap mengenai penyewa, termasuk membuat semakan melalui ejen hartanah sekiranya urusan penyewaan dikendalikan pihak ketiga.

“Jangan terima sebarang penyewa tanpa membuat penelitian terlebih dahulu kerana langkah itu boleh membantu mengelakkan premis disalahgunakan untuk kegiatan jenayah,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai beberapa serbuan polis baru-baru ini terhadap sindiket penipuan dalam talian yang didapati beroperasi dari banglo yang disewa di negeri itu.

Pada 16 dan 17 Julai lepas, polis menumpaskan lima sindiket penipuan dalam talian selepas menyerbu beberapa banglo di Tanjung Bungah, Batu Ferringhi, Pulau Tikus, Gelugor dan Bukit Mertajam yang dijadikan pusat panggilan bagi menjalankan kegiatan penipuan pelaburan tidak wujud serta penipuan melalui panggilan telefon.

Lim berkata operasi yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kontinjen Pulau Pinang itu membawa kepada penahanan 108 individu terdiri daripada seorang warga tempatan serta 107 warga asing dari China, Vietnam, Kemboja, Taiwan, Filipina, Pakistan dan Afrika Selatan.

Beliau berkata siasatan awal mendapati kebanyakan premis berkenaan telah beroperasi lebih sebulan dan dijadikan tempat tinggal serta pusat operasi ahli sindiket yang dipercayai direkrut melalui platform dalam talian atau ejen sebelum dibawa ke Malaysia.

“Mereka ditawarkan pekerjaan sebagai pegawai khidmat pelanggan dengan gaji antara RM3,200 hingga RM5,000 sebulan untuk menghubungi dan memujuk mangsa menyertai skim pelaburan tidak wujud dengan menyasarkan mangsa dari China.

“Bagi sindiket yang menjalankan penipuan melalui panggilan telefon pula, suspek dipercayai menyamar sebagai pegawai penguat kuasa termasuk polis Kanada bagi memperdaya mangsa di Kanada dan Amerika Syarikat,” katanya.

Sehubungan dengan itu, beliau berkata polis menjalinkan kerjasama dengan agensi penguat kuasa negara yang terlibat bagi membantu siasatan, termasuk menyemak sama ada individu yang ditahan dikehendaki oleh pihak berkuasa negara masing-masing.

“Kami telah memaklumkan penahanan semua suspek kepada negara-negara yang terlibat untuk semakan lanjut. Sekiranya terdapat bukti atau maklumat yang diperlukan, kami akan menggunakan saluran kerjasama penguatkuasaan antarabangsa mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya.

Beliau berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 dan Seksyen 120B Kanun Keseksaan manakala semua warga asing yang ditahan turut disiasat mengikut Seksyen 6(3) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement