Skip to main content

Malaysia

Polis buka kertas siasatan insiden dua pelajar sekolah bergaduh di padang bola

PDRM
Polis membuka kertas siasatan berhubung insiden pergaduhan membabitkan dua pelajar sekolah di padang bola sebuah masjid di Seksyen 19, Shah Alam, pada 12 Jun.

SHAH ALAM: Polis membuka kertas siasatan berhubung insiden pergaduhan membabitkan dua pelajar sekolah di padang bola sebuah masjid di Seksyen 19, di sini, pada 12 Jun.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Sarudin Samah berkata, pihaknya menerima laporan daripada bapa kepada salah seorang pelajar terbabit, berhubung kejadian yang berlaku kira-kira 1 tengah hari itu.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua pelajar lelaki yang masing-masing berusia 13 dan 14 tahun itu, saling mengenali serta belajar di sekolah yang sama.

“Kejadian pergelutan ini berlaku antara dua orang pelajar sahaja dan dipercayai beberapa pelajar yang lain turut menyaksikan pergaduhan tersebut.

“Mangsa yang berusia 13 tahun itu kemudiannya telah mendapat rawatan di Hospital Shah Alam dan disahkan mengalami ‘soft issue injury’,” katanya menerusi satu kenyataan.

Sarudin berkata, polis akan menjalankan siasatan secara menyeluruh, termasuk mendapatkan perintah menjalankan siasatan serta memanggil semua saksi yang terlibat bagi membantu siasatan.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan dan pelaku boleh dikenakan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Susulan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat, untuk menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Mohammad Amirul Zulkifli  menerusi talian 012-5583436 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement