SINGAPURA: Singapura akan melancarkan satu inisiatif baharu bagi menghimpunkan Datuk Bandar dari seluruh dunia untuk berhubung dan bertukar idea, umum Perdana Menteri Lawrence Wong, pada Isnin.
Menurut beliau, usaha kerjasama antara bandar kini lebih penting berbanding sebelum ini dalam suasana dunia yang disifatkan semakin “berpecah dan berfragmen.”
Berucap pada hari kedua World Cities Summit (WCS) di Pusat Konvensyen dan Pameran Suntec Singapura, Wong berkata, walaupun kerajaan antara negara mungkin tidak sependapat dalam setiap isu geopolitik, bandar masih mampu mencari titik persamaan.
“Bandar boleh terus bertukar idea praktikal dan belajar daripada pengalaman antara satu sama lain,” katanya.
Sidang kemuncak yang berlangsung dari 14 hingga 16 Jun itu menghimpunkan pemimpin kerajaan, pakar industri dan ahli akademik bagi membincangkan pelbagai isu termasuk kebolehdiaman bandar dan cabaran kemampanan.
Wong berkata, pemimpin bandar kini berdepan cabaran yang hampir sama, termasuk memanfaatkan teknologi dan mengembangkan ekonomi tanpa meminggirkan masyarakat, menyatukan rakyat daripada latar belakang berbeza sambil mengekalkan keharmonian sosial, serta memenuhi keperluan infrastruktur yang semakin meningkat tanpa menjejaskan kelestarian bandar.
Beliau mengakui, tiada penyelesaian sempurna bagi isu tersebut, malah setiap bandar perlu membuat pilihan yang sukar dan menyesuaikan pendekatan mengikut kekangan serta kekuatan masing-masing.
“Namun, tiada bandar perlu melakukannya bersendirian kerana banyak yang boleh dipelajari daripada pengalaman bersama,” katanya.
Inisiatif baharu dikenali sebagai Mayoral Fellowship itu bakal memperluas peluang pembelajaran dan pertukaran idea kepada pemimpin bandar di luar pemenang Anugerah Lee Kuan Yew World City Prize.
Program berkenaan merupakan salah satu daripada tiga program fellowship di bawah rangkaian tersebut yang kini dianggotai 26 bandar.
Dua lagi ialah Research Fellowship dan Urban Leaders’ Fellowship.
Kumpulan pertama peserta melibatkan Datuk Bandar dari Agra, Bucharest, Kigali dan Tshwane, manakala bekas Datuk Bandar Helsinki dan Paris turut serta sebagai felo jemputan.
“Platform ini membolehkan mereka berkongsi kejayaan dan cabaran secara terbuka serta membina hubungan jangka panjang,” kata Wong.
Beliau turut mengumumkan pelancaran siri syarahan Liu Thai Ker Distinguished Speaker Series yang akan dianjurkan bersama oleh Urban Redevelopment Authority (URA) dan Housing and Development Board (HDB) pada akhir tahun ini.
Siri tersebut bagi menghargai sumbangan mendiang Dr Liu Thai Ker, yang dikenali sebagai arkitek dan perancang utama pembangunan moden Singapura, serta akan menampilkan pemimpin bandar berkongsi pandangan mengenai reka bentuk berteraskan komuniti dan pembangunan bandar mampan.
Menurut Wong, perancangan bandar adalah proses berterusan yang memerlukan pembelajaran, penyesuaian dan penambahbaikan.
“Kita berharap siri ini dapat memberi inspirasi kepada generasi baharu pemimpin bandar dan meneruskan legasi pembangunan berfokuskan rakyat,” katanya.
Dalam pada itu, Wong menegaskan, pendekatan pembangunan Singapura sejak awal tidak berlandaskan ideologi semata-mata, sebaliknya dipandu oleh pragmatisme.
“Kami mencuba pelbagai pendekatan, mengekalkan apa yang berkesan dan mengubah yang tidak sesuai, dengan fokus kepada hasil terbaik untuk rakyat Singapura,” katanya.
Beliau menjelaskan, walaupun negara itu menekankan pertumbuhan ekonomi, ia turut mengiktiraf bahawa kesejahteraan tidak boleh diukur melalui Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) semata-mata.
Sehubungan itu, Singapura terus memelihara warisan semula jadi dan budaya serta memperuntukkan ruang utama untuk tujuan tersebut, termasuk projek seperti Gardens by the Bay dan Rail Corridor.
Selain itu, walaupun pasaran memainkan peranan penting dalam peruntukan sumber, kerajaan tetap mengambil peranan aktif dalam bidang tertentu seperti perumahan.
Kini, sekitar 80 peratus penduduk Singapura tinggal di kediaman awam dan majoritinya memiliki rumah sendiri.
Kerajaan juga memastikan bekalan rumah mencukupi dan disubsidi bagi menjamin pemilikan rumah kekal mampu milik, di samping memastikan komposisi penduduk yang inklusif dalam kawasan perumahan.
Wong turut menekankan kepentingan kerjasama dan penglibatan komuniti dalam pembangunan bandar, termasuk dalam menangani penuaan penduduk melalui pembangunan kejiranan mesra warga emas berbanding pembinaan kawasan persaraan eksklusif.
Pendekatan itu membolehkan warga emas terus tinggal dalam komuniti masing-masing dengan akses kepada pelbagai perkhidmatan dan sokongan berhampiran.
“Ini memerlukan kerjasama erat antara penyedia perkhidmatan kesihatan, organisasi komuniti, penjaga dan sukarelawan,” katanya.
Beliau menambah, Singapura tidak menganggap penyelesaian lama akan sentiasa relevan, sebaliknya terus belajar, menyesuaikan diri dan berinovasi mengikut perubahan keadaan. - CNA