PERAI: Galatek Technologies (Galatek) menyasarkan pelaburan sehingga US$ 100 juta (RM471.5 juta) dalam tempoh lima tahun akan datang menerusi pembukaan kemudahan pembuatan, pemasangan dan penghantaran pertamanya di Malaysia yang terletak di Perai Skygate, Kawasan Perusahaan Bebas Perai.
Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, pelaburan syarikat teknologi global itu dilihat mampu mengukuhkan lagi ekosistem semikonduktor serta rantaian bekalan industri berteknologi tinggi di negeri berkenaan.
Menurut beliau, kehadiran Galatek bukan sahaja membawa pelaburan baharu, malah membantu mengisi jurang dalam rantaian bekalan industri yang diperlukan bagi menyokong pertumbuhan sektor semikonduktor dan elektronik negara.
"Ini memperkukuhkan ekosistem kita kerana masih terdapat beberapa jurang dalam rantaian bekalan yang perlu diisi supaya kita dapat melengkapkan ekosistem sedia ada dan memberi perkhidmatan kepada kilang-kilang tempatan serta pelanggan luar negara," katanya ketika merasmikan Hub Pembuatan dan Penghantaran Global Galatek di Perai pada Jumaat.
Galatek yang berfokus dalam automasi berasaskan kecerdasan buatan (AI), peralatan semikonduktor dan teknologi sains hayat memulakan operasinya di Malaysia dengan pelaburan awal sebanyak US$2 juta.
Syarikat itu merancang meningkatkan pelaburannya kepada US$60 juta dalam tempoh tiga tahun sebelum mencapai sasaran keseluruhan US$100 juta dalam tempoh lima tahun akan datang.
Ketua Pegawai Eksekutif Galatek, David Tian berkata, Pulau Pinang dipilih sebagai lokasi operasi kerana kekuatan ekosistem industri, tenaga kerja berkemahiran tinggi dan rangkaian rantaian bekalan yang matang.
Menurutnya, kemudahan itu akan berfungsi sebagai pusat pengeluaran dan penghantaran strategik bagi memenuhi permintaan pelanggan di Asia Tenggara serta di pasaran global.
"Malaysia menawarkan asas yang kukuh untuk pembuatan maju. Pulau Pinang pula mempunyai kepakaran industri yang mendalam serta hubungan yang baik dengan pasaran antarabangsa," katanya.
Kemudahan berkenaan akan menumpukan kepada pengeluaran, pemasangan dan integrasi sistem automasi berketepatan tinggi yang digunakan dalam industri semikonduktor, elektronik termaju dan sains hayat.
Dalam pada itu, Rakan Pengurusan Kanan Granite Asia, Jenny Lee berkata permintaan global terhadap peralatan semikonduktor dan pembuatan maju berasaskan AI terus berkembang, sekali gus membuka peluang besar kepada syarikat yang mempunyai keupayaan teknologi tinggi.
Beliau berkata, gabungan bakat kejuruteraan, pengalaman industri dan dasar mesra pelaburan menjadikan Pulau Pinang lokasi yang sesuai untuk pengembangan operasi Galatek.
Dari segi pembangunan bakat, syarikat itu dijangka mewujudkan antara 20 hingga 30 peluang pekerjaan baharu tahun ini dalam bidang kejuruteraan, operasi, perolehan, jualan dan sokongan teknikal.
Jumlah tenaga kerja tempatan itu dijangka meningkat kepada kira-kira 100 orang dalam tempoh lima tahun selaras dengan pelan pengembangan syarikat.
Selain peluang pekerjaan, pelaburan itu dijangka memberi manfaat kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan menerusi peningkatan aktiviti perolehan serta penglibatan dalam rantaian bekalan global industri semikonduktor dan automasi berteknologi tinggi.