Skip to main content

Malaysia

Polis tumpas sindiket curi kabel ECRL di Kelantan, empat kes selesai

71767606875_PDRMPolis.jpg
Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata kegiatan itu dipercayai didalangi satu sindiket tempatan yang mengambil kesempatan ketika sistem elektrik di jajaran ECRL masih belum beroperasi sepenuhnya. -Gambar fail

KOTA BHARU: Polis merekodkan empat kes kecurian kabel projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Kelantan tahun ini yang melibatkan kerugian kira-kira RM50,000.

Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata kegiatan itu dipercayai didalangi satu sindiket tempatan yang mengambil kesempatan ketika sistem elektrik di jajaran ECRL masih belum beroperasi sepenuhnya.

Beliau berkata dua lelaki tempatan berusia lingkungan 20-an hingga 30-an itu telah ditahan bulan lepas dan dipercayai terlibat dalam kesemua kejadian berkenaan.

"Mereka dipercayai aktif sejak Februari lepas. Setiap kejadian membabitkan kecurian kabel serta peralatan lain yang mengandungi tembaga," katanya.

Mohd Yusoff berkata demikian pada sidang media selepas perhimpunan bulanan peringkat Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan bagi Jun 2026, di sini hari ini.

Beliau berkata kebanyakan kejadian berlaku di Pasir Puteh berikutan daerah itu mempunyai jajaran ECRL terpanjang di Kelantan yang bersambung dengan laluan dari Terengganu.

Katanya, kabel yang dicuri dipercayai dijual di premis membeli besi buruk di negeri ini dan perbincangan dengan ECRL telah diadakan bagi mempertingkatkan langkah keselamatan termasuk pemasangan kamera litar tertutup dan pengambilan pengawal keselamatan.

Mohd Yusoff berkata ketua polis daerah yang terlibat dengan laluan ECRL turut diarahkan meningkatkan rondaan di kawasan berkenaan bagi mencegah kejadian serupa daripada berulang.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement