SEPANG: Kementerian Pengangkutan akan mengadakan perbincangan dengan syarikat pengendali e-hailing bagi meneliti langkah keselamatan tambahan susulan terhadap pemandu termasuk cadangan pemasangan kamera papan pemuka.
Langkah itu susulan beberapa insiden serangan terhadap pemandu perkhidmatan berkenaan yang dilaporkan sejak kebelakangan ini.
Menterinya, Anthony Loke berkata, pemasangan kamera papan pemuka dalam kenderaan e-hailing dicadangkan bagi meningkatkan perlindungan kepada pemandu.
Bagaimanapun, beliau menegaskan pelaksanaan langkah tersebut perlu diteliti dengan mengambil kira aspek privasi penumpang.
“Kita akan berbincang dengan pengendali e-hailing mengenai perkara ini. Ada cadangan supaya kamera dipasang dalam kenderaan bagi melindungi pemandu, namun perkara itu perlu diperhalusi kerana ia turut melibatkan isu privasi penumpang.
“Dari segi keselamatan, kita akan terus berbincang dengan pengendali untuk mengenal pasti langkah tambahan yang boleh dilaksanakan bagi melindungi pemandu.
“Keselamatan penumpang dan pemandu sama penting, jadi kita perlu mencari keseimbangan yang sesuai,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat agung tahunan ke-62 Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR), di sini, hari ini.
Perbincangan mengenai aspek keselamatan itu timbul susulan beberapa kejadian melibatkan pemandu e-hailing yang didakwa menjadi mangsa serangan oleh penumpang.
Pada 11 Jun lalu, polis menahan seorang lelaki dan seorang wanita bagi membantu siasatan berhubung kes samun dan serangan terhadap seorang pemandu e-hailing di Kota Tinggi, Johor.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman dilaporkan berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian samun bersenjata itu pada jam 2.46 pagi di Terminal Bas Tun Sri Lanang.
Sementara itu, pada 12 Jun, tiga warga asing dilaporkan menyerang seorang pemandu e-hailing selepas ditegur kerana membuat bising di dalam kenderaan yang dipandunya di Taman Tan Sri Yaakob, Skudai.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M. Kumarasan berkata, polis sedang mengesan suspek bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 323 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan.