BANGKOK: Thailand bersedia menghadapi kejutan luaran dan ketidaktentuan global meskipun ketegangan geopolitik masih berterusan, kata Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul pada Isnin sambil mengalu-alukan laporan mengenai perjanjian gencatan senjata antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran.
Ketika berucap di Rumah Kerajaan, Anutin berkata sebarang perkembangan positif di Asia Barat akan membantu meredakan krisis global dan menyokong kestabilan ekonomi.
Beliau berkata Thailand telah menyesuaikan diri dengan baik terhadap gangguan rantaian bekalan global, sambil menambah bahawa kerajaan bergantung kepada perancangan strategik jangka panjang dan bukannya bertindak balas terhadap perkembangan harian.
“Jika perjanjian dicapai di Asia Barat, ia akan menjadi faktor positif yang membantu meredakan pelbagai krisis,” katanya kepada pemberita pada Isnin.
Presiden AS, Donald Trump pada Ahad mengumumkan bahawa perjanjian dengan Iran telah dimuktamadkan dan berkata beliau memberi kebenaran bagi pembukaan semula Selat Hormuz serta penamatan sekatan tentera laut AS.
Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan Thailand, Ekniti Nitithanprapas berkata, penamatan konflik itu akan memberi manfaat kepada ekonomi global dan Thailand melalui penurunan harga tenaga serta pengurangan risiko ekonomi.
“Jika perang berakhir, ia akan menjadi petanda positif bagi ekonomi global dan Thailand,” katanya.
Ekniti berkata kerajaan akan terus memantau tekanan inflasi dan kesan peningkatan kos terhadap isi rumah serta perniagaan kecil, sambil menyuarakan keyakinan bahawa keadaan global yang bertambah baik mampu menyokong pertumbuhan ekonomi yang lebih kukuh berbanding jangkaan semasa.
Beliau berkata Thailand akan meneruskan program peralihan tenaga bernilai 200 bilion baht meskipun harga minyak dijangka menurun, sambil menyatakan negara itu masih bergantung kepada import minyak dan gas asli.
“Peralihan tenaga masih diperlukan,” katanya.
-- BERNAMA