Skip to main content

Malaysia

KJRI Johor Bahru lindungi dua pembantu rumah warga Indonesia disyaki didera majikan

TB_STATEMENT DERA INDONESIA JOHOR_KJRI Johor Bahru
Menerusi satu kenyataan, KJRI Johor Bahru berkata kedua-dua mangsa telah dibawa ke tempat tinggal sementara konsulat itu dan kini menerima perlindungan serta bantuan lanjut.

KUALA LUMPUR: Konsulat Jeneral Republik Indonesia (KJRI) Johor Bahru telah memberikan perlindungan kepada dua warga Indonesia, dikenali sebagai YY dan SH, yang dipercayai menjadi mangsa keganasan oleh majikan mereka di Johor.

Menerusi satu kenyataan, KJRI Johor Bahru berkata kedua-dua mangsa telah dibawa ke tempat tinggal sementara konsulat itu dan kini menerima perlindungan serta bantuan lanjut.

Ujar kenyataan, kes itu bermula pada 13 Jun 2026 apabila perkhidmatan konsulat menerima aduan daripada YY yang mendakwa dirinya serta dua lagi warga Indonesia, YA dan SH, menjadi mangsa keganasan fizikal ketika bekerja sebagai pembantu rumah di Johor.

Menurut kenyataan, berdasarkan maklumat yang diterima, ketiga-tiga mangsa dikatakan kerap mengalami keganasan sepanjang tempoh bekerja. 

Salah satu kejadian dilaporkan berlaku sekitar penghujung tahun 2025 hingga Januari 2026.

Selepas kejadian itu, mereka ditinggalkan oleh majikan di kawasan Kampung Melayu Majidee, Johor Bahru.

Tambah KJRI Johor Bahru, kerana masih mahu bekerja di Malaysia, ketiga-tiga mereka kemudian berpisah. 

YA menuju ke Kuala Lumpur, manakala YY dan SH kekal berada di Johor.

Mereka juga didapati bekerja di Malaysia tanpa mengikut prosedur yang ditetapkan dan tidak memiliki permit kerja yang sah. 

Pasport mereka juga masih dipegang oleh majikan, menyebabkan mereka takut untuk melaporkan kejadian tersebut kepada pihak berkuasa.

Bagaimanapun, kerana bimbang terhadap keselamatan diri, YY akhirnya membuat aduan kepada KJRI Johor Bahru.

Susulan laporan itu, KJRI Johor Bahru segera berhubung dengan pihak polis dan membuat aduan rasmi. 

Selain menempatkan YY dan SH di tempat perlindungan sementara, KJRI Johor Bahru dengan kerjasama Kedutaan Besar Republik Indonesia (KBRI) di Kuala Lumpur sedang mengatur usaha membawa YA yang kini berada di Kuala Lumpur bagi mendapatkan perlindungan yang sama.

KJRI Johor Bahru turut memaklumkan akan memudahkan proses laporan kepada pihak polis serta menyediakan bantuan guaman bagi memastikan hak mangsa terpelihara sepanjang proses perundangan berlangsung.

Dalam pada itu, KJRI Johor Bahru mengingatkan warga Indonesia yang ingin bekerja di luar negara supaya menggunakan saluran penempatan yang sah dan mematuhi peraturan yang berkuat kuasa bagi memperoleh perlindungan undang-undang dan kebajikan pekerjaan yang lebih baik.

Menurut kenyataan itu, pengendalian kes berkenaan diselaraskan oleh KJRI Johor Bahru bersama Kementerian Luar Negeri Republik Indonesia, Kementerian Perlindungan Pekerja Migran Indonesia (KP2MI) dan KBRI Kuala Lumpur bagi memastikan perlindungan, bantuan perundangan serta pengurusan mangsa dapat dilaksanakan secara menyeluruh.

Terdahulu, pada Ahad (14 Jun), Ketua Polis Johor Datuk Ab Rahaman Arsad memaklumkan kesemua suspek berusia 30 hingga 34 tahun dalam kes itu ditahan di sebuah rumah di Taman Johor dekat Tampoi, Johor Bahru pada 7.30 malam oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Johor dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara, Sabtu (13 Jun) lalu.

Must Watch Video

Advertisement