PETALING JAYA: Presiden Timor-Leste Jose Ramos-Horta menyifatkan hubungan diplomatik antara Dili dengan Kuala Lumpur sebagai sangat baik, selain memuji kedudukan global Malaysia dalam aspek keselamatan, kebebasan dan demokrasi.
Pemenang Hadiah Keamanan Nobel dan bekas wartawan itu berkata Malaysia telah menyokong Timor-Leste sejak sebelum kemerdekaannya pada 2002 lagi melalui pasukan pengaman pada 1999.
"Daripada pemerhatian saya, Malaysia berada pada prestasi yang sangat baik untuk tempoh yang lama, sejak 40 tahun lepas. Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, ketokohan (Perdana Menteri Datuk Seri) Anwar Ibrahim telah membolehkan ekonomi dan peranan Malaysia berkembang di peringkat antarabangsa," katanya kepada pemberita selepas sesi dialog bersama pelajar di Taylor's University di sini, pada Isnin.
Ramos-Horta sedang mengadakan lawatan khas selama lima hari ke Malaysia sehingga Rabu ini.
Ketika diminta memberikan ulasan untuk wartawan Malaysia sempena sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2026 di Pulau Pinang Sabtu ini, Profesor Adjung Kehormat Taylor's University itu berharap agar semua pengamal media di Malaysia terus menyalurkan maklumat kepada masyarakat.
"Hanya masyarakat yang berpengetahuan luas akan dapat kekal bersama, mempromosikan perpaduan dan menghadapi cabaran di dalam negara. Tahniah kepada Malaysia dan para wartawannya," kata beliau.
Terdahulu dalam sesi dialog bertajuk "A Changing World, Enduring Values," Ramos-Horta berkata Timor-Leste amat berharap dapat menjadi tuan rumah bagi Sidang Kemuncak ASEAN pada 2029.
Presiden itu optimis bahawa semua kemudahan akan dapat disediakan menjelang tempoh berkenaan, sambil menyatakan negara itu kini sedang berusaha mempercepat pembangunan infrastruktur.
"Kami (Timor-Leste) mampu melakukannya," kata Ramos-Horta, sambil menzahirkan rasa terima kasih atas usaha Malaysia membantu negara itu memperoleh keahlian penuh ASEAN semasa mempengerusikan blok serantau itu tahun lepas.
Timor-Leste secara rasmi menjadi anggota ke-11 ASEAN pada 26 Oktober 2025, sekali gus menandakan peluasan pertama blok serantau itu dalam tempoh 26 tahun.
-- BERNAMA