Skip to main content

Dunia

Kehadiran TNI dalam protes cetus kebimbangan, ibarat pengulangan 1998

TB_DEDI ALI AHMAD_AWANI
Dedi berkata, bantahan yang berlaku ketika ini tidak boleh dipandang ringan kerana ia dilihat sebagai gelombang kedua protes dalam pentadbiran Prabowo

KUALA LUMPUR: Kehadiran anggota Tentera Nasional Indonesia (TNI) dalam mengawal demonstrasi bantahan pelajar terhadap dasar kerajaan Presiden Prabowo Subianto disifatkan sebagai petanda yang membimbangkan dan mengingatkan semula kepada peristiwa Reformasi 1998.

Penganalisis politik Indonesia, Dedi Ali Ahmad berkata, kemunculan semula anggota tentera di jalanan ketika himpunan awam seolah-olah mengulangi situasi yang pernah berlaku ketika krisis politik 1998 apabila pasukan keselamatan mengawal demonstrasi besar-besaran yang digerakkan rakyat.

Menurut beliau, walaupun tindakan itu mungkin bertujuan mengekalkan kestabilan negara, dasar dan pelan tindakan kerajaan perlu terus berpandukan undang-undang serta tidak dilihat menyekat ruang demokrasi.

Beliau berkata demikian ketika diwawancara dalam program Agenda AWANI yang disiarkan pada Isnin malam.

Dedi berkata, bantahan yang berlaku ketika ini tidak boleh dipandang ringan kerana ia dilihat sebagai gelombang kedua protes dalam pentadbiran Prabowo susulan kebimbangan rakyat terhadap keadaan ekonomi dan beberapa dasar kerajaan yang masih belum jelas.

Katanya, kerajaan perlu lebih terbuka menerima kritikan dan pandangan masyarakat bagi memulihkan keyakinan rakyat selain mengelakkan tindakan yang boleh mencetuskan ketegangan yang lebih besar.

Mengulas Program Makan Berzat Percuma (MBG) dan Koperasi Desa Merah Putih yang menjadi antara manifesto utama Prabowo, Dedi berpandangan, inisiatif itu pada asasnya baik, namun pelaksanaannya menimbulkan persoalan dari segi perundangan, mekanisme serta ketelusan penggunaan peruntukan kerajaan.

Menurutnya, program MBG turut menerima kritikan kerana tidak diperincikan secara jelas dalam belanjawan negara selain didakwa dilaksanakan terlalu pantas tanpa persediaan menyeluruh dari aspek struktur, kewangan dan pelaksanaan di peringkat wilayah.

Beliau menegaskan penyelesaian terbaik ialah melalui komunikasi yang baik antara kerajaan, mahasiswa dan masyarakat bagi mencari jalan penyelesaian terhadap isu ekonomi serta dasar-dasar semasa negara.

Dedi berkata, pendekatan dialog dan keterbukaan penting bagi memastikan suara rakyat didengari tanpa menjejaskan kestabilan politik serta proses demokrasi di Indonesia.
 

Must Watch Video

Advertisement