Skip to main content

Malaysia

Bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Nallini Pathmanathan dilantik Pengerusi Majlis Media Malaysia

Sumber: Majlis Media Malaysia
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil dan Pengerusi Majlis Media Malaysia (MMM), Tan Sri Nallini Pathmanathan. - Gambar ihsan Majlis Media Malaysia

KUALA LUMPUR: Bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Nallini Pathmanathan dilantik sebagai Pengerusi Majlis Media Malaysia (MMM), sekali gus menerajui badan kawal selia kendiri industri media negara yang ditubuhkan di bawah Akta Majlis Media Malaysia 2025.

Dalam kenyataan hari ini, MMM memaklumkan, pelantikan Nallini dipersetujui sebulat suara oleh Ahli-Ahli Lembaga Majlis Media Malaysia dalam mesyuarat yang diadakan pada 26 Mei lepas.

Majlis itu menyifatkan pelantikan berkenaan sebagai satu pencapaian penting dalam memperkukuh peranannya sebagai badan kawal selia kendiri yang bebas, berwibawa dan berteraskan kepentingan awam bagi industri media.

"Komitmen beliau (Nallini) sepanjang kerjaya terhadap kebebasan badan kehakiman, kedaulatan undang-undang dan akses kepada keadilan menjadikan beliau individu yang paling sesuai untuk memimpin Majlis ketika ia memulakan peranannya dalam memupuk media yang bebas, bertanggungjawab dan dikawal selia secara kendiri di Malaysia," menurut kenyataan itu.

Nallini bersara sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan pada Februari lepas setelah berkhidmat selama 18 tahun dalam badan kehakiman. 

Sepanjang tempoh itu, beliau berkhidmat di ketiga-tiga peringkat mahkamah atasan dan menulis kira-kira 325 penghakiman yang dilaporkan, termasuk keputusan penting dalam bidang undang-undang perlembagaan dan komersial.

Nallini yang merupakan wanita pertama berketurunan Asia Selatan dilantik ke badan kehakiman atasan Malaysia pernah beramal sebagai peguam di Tetuan Skrine selama lebih dua dekad sebelum menyertai badan kehakiman dan kini berkhidmat sebagai penimbang tara serta pengantara.

Beliau turut memegang jawatan Naib Pengerusi Forum Hakim-Hakim Persatuan Peguam Antarabangsa, ahli Kumpulan Pemandu Forum Antarabangsa Tetap Mahkamah Komersial, selain hakim di Mahkamah Antarabangsa Qatar dan Pusat Penyelesaian Pertikaian Qatar.

Ditubuhkan di bawah Akta Majlis Media Malaysia 2025, MMM ialah badan kawal selia kendiri industri media yang berperanan memperkukuh standard kewartawanan, mengendalikan mekanisme aduan awam berkaitan media, mempromosikan amalan beretika serta mempertahankan kebebasan media sebagai asas penting kepada demokrasi.

Menurut kenyataan itu, di bawah kepimpinan Nallini, majlis berkenaan akan memberikan tumpuan kepada usaha memperkukuh institusi, melaksanakan Kod Tatakelakuan, membangunkan sistem aduan yang adil dan diyakini serta meningkatkan pemahaman masyarakat mengenai peranan media dalam sebuah masyarakat demokratik.

Majlis itu juga akan memberikan perhatian khusus kepada agenda reformasi undang-undang yang melibatkan media, wartawan dan hak orang awam untuk memperoleh maklumat yang tepat, termasuk usaha menggalakkan persekitaran perundangan yang lebih jelas dan seimbang selaras dengan prinsip kebebasan bersuara, hak terhadap maklumat, etika kewartawanan dan kepentingan awam.

Menurut MMM, pelantikan berkenaan dibuat pada waktu penting ketika industri media berdepan dengan pelbagai cabaran termasuk tekanan ekonomi, perubahan teknologi, kecerdasan buatan (AI), maklumat palsu dan mengelirukan, ancaman terhadap wartawan serta keperluan membina semula kepercayaan awam terhadap media.

"Majlis Media Malaysia yakin bahawa kepimpinan Tan Sri Nallini akan membantu memacu Majlis ke arah fasa yang lebih matang, bebas dan berwibawa, berteraskan tiga asas utama, iaitu standard, etika dan kebebasan," menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement