RIO DE JANEIRO: Penyanyi dan penulis lagu Amerika Syarikat (AS), Oliver Tree dilaporkan berada dalam salah sebuah daripada dua helikopter yang bertembung di udara di Brazil, mengorbankan kesemua enam individu yang berada dalam pesawat berkenaan.
Dalam kejadian pada Ahad, kedua-dua helikopter tersebut dilaporkan berlanggar di ruang udara kawasan Recreio dos Bandeirantes, di barat Rio de Janeiro, sebelum terhempas ke sebuah kawasan parkir pengedar kenderaan elektrik.
Menurut pihak bomba, impak nahas menyebabkan kebakaran besar sehingga memusnahkan kira-kira 20 buah kenderaan di lokasi kejadian.
Salah satu helikopter membawa lima individu termasuk Tree, manakala sebuah lagi hanya dinaiki juruterbang.
Kesemua mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Pihak berkuasa memaklumkan, identiti mangsa masih belum dapat dikenal pasti secara rasmi berikutan keadaan mayat yang melecur teruk akibat kebakaran.
Siasatan kini sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca perlanggaran di udara tersebut.
Tree, 32, yang terkenal dengan lagu seperti Life Goes On, Miss You dan Alien Boy, berada di Brazil sebagai sebahagian daripada jelajah dunianya dan baru sahaja mengadakan persembahan di Sao Paulo beberapa hari sebelum kejadian.