KUALA LUMPUR: THR Gegar menzahirkan penghargaan atas kejayaan penyampai program Bro Pagi Gegar, Issey, yang dinobatkan sebagai Penyampai Radio Terbaik Kategori Swasta sempena Sambutan Hari Wartawan Peringkat Negeri Kelantan baru-baru ini.
Pengurus Jenama THR Gegar, Azah Sahrin berkata, pengiktirafan itu mencerminkan bakat, dedikasi dan konsistensi Issey dalam menyampaikan kandungan berkualiti kepada pendengar.
Menurut beliau, kejayaan tersebut turut memperkukuhkan kedudukan THR Gegar sebagai stesen radio pilihan utama di Pantai Timur.
“Kami amat berbangga dengan pencapaian Issey yang berjaya meraih pengiktirafan ini. Ia adalah hasil usaha keras, kreativiti serta komitmen beliau dalam memberikan yang terbaik kepada pendengar setiap hari,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah Azah, anugerah itu diharap menjadi pemangkin semangat kepada seluruh barisan penyampai THR Gegar untuk terus meningkatkan prestasi dan kekal relevan dalam industri penyiaran.
“Kejayaan ini bukan hanya milik individu, tetapi juga inspirasi kepada semua penyampai dan warga kerja THR Gegar untuk terus bekerja lebih gigih demi memenuhi jangkaan serta kepercayaan pendengar setia kami,” ujarnya.
Issey menerima wang tunai RM1,000 berserta plak penghargaan hasil kemenangan tersebut.
Sebanyak 91 pencalonan diterima sepanjang tempoh penyertaan dari 10 hingga 14 Mei lalu, melibatkan sembilan kategori dalam bidang akhbar, televisyen, fotografi dan radio bagi hasil siaran sepanjang tahun 2025.
THR Gegar merupakan sebahagian daripada 13 rangkaian di bawah Astro Audio dan kekal sebagai stesen radio berbahasa Melayu pilihan di Kelantan, Terengganu dan Pahang.