Skip to main content

Malaysia

PM Bangladesh diberi sambutan rasmi di Putrajaya

Sumber: Astro AWANI
Perdana Menteri Anwar menyambut ketibaan Perdana Menteri Tarique Rahman di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya, pada Isnin. - Gambar Astro AWANI

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Bangladesh, Tarique Rahman yang dalam lawatan dua hari ke Malaysia diberi sambutan rasmi di Bangunan Perdana Putra, di sini, hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail menyambut ketibaan Tarique pada jam 9 pagi, sebelum lagu kebangsaan kedua-dua negara dimainkan.

Tarique hadir bersama isteri, Dr Zubaida Rahman.

Turut hadir Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Khaled Nordin serta anggota jemaaah menteri.

Tarique kemudian memeriksa pasukan Kawalan Kehormatan terdiri daripada 103 anggota dan tiga pegawai dari Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja dipimpin oleh Mejar Nur Ahmad Zaim Zahari.

Kedua-dua pemimpin dijangka membincangkan perkembangan hubungan dua hala Malaysia-Bangladesh serta meneroka kerjasama lanjut, khusus dalam sektor utama termasuk perdagangan dan pelaburan, pengurusan sumber manusia, semikonduktor, tenaga, pertanian dan pendidikan di samping bertukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama.

Kedua-dua pemimpin juga akan menyaksikan pertukaran satu Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai Kerjasama Kebudayaan serta dua pertukaran Nota Diplomatik (EoN) dalam bidang Penyelidikan Banteras Keganasan serta dalam bidang Promosi dan Fasilitasi Pelaburan.

Pada tahun 2025, jumlah perdagangan antara Malaysia dan Bangladesh mencecah RM12.18 bilion (AS$2.84 bilion).

Jumlah eksport Malaysia ke Bangladesh berjumlah RM10.08 bilion (AS$2.35 bilion)
dengan produk petroleum menjadi barangan utama.

Jumlah import dari Bangladesh pula berjumlah RM2.1 bilion (AS$500 juta) dan sebahagian besar disumbangkan oleh tekstil, pakaian dan kasut.

Bangladesh adalah rakan dagang ke-28 terbesar bagi Malaysia dengan jumlah perdagangan sebanyak RM12.18 bilion.

Bangladesh juga adalah rakan dagang, destinasi eksport dan sumber import kedua terbesar Malaysia di rantau Asia Selatan selepas India.

Must Watch Video

Advertisement