Skip to main content

Bisnes

Ringgit rendah berbanding dolar AS, mengukuh berbanding mata wang utama lain

61750923401_wangringgitgaji.jpg
Ringgit dijangka diniagakan secara berhati-hati berikutan peniaga dan pelabur memantau perkembangan rundingan antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran. - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS pada Isnin tetapi mengukuh berbanding mata wang utama lain dalam dagangan berhati-hati berikutan pemain pasaran memantau perkembangan ketegangan geopolitik di Asia Barat.

Pada 8 pagi, mata wang tempatan menurun kepada 4.1350/1445 berbanding dolar AS daripada 4.1340/1395 semasa ditutup pada Jumaat lepas.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, ringgit dijangka diniagakan secara berhati-hati berikutan peniaga dan pelabur memantau perkembangan rundingan antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran.

“Setakat ini, terdapat laporan berita bahawa jutaan tong minyak terus dibawa melalui Selat Hormuz pada hujung minggu lepas.

“Ini menunjukkan risiko bekalan minyak mentah dan gas asli cecair yang terhad dijangka berkurangan walaupun ketegangan berterusan.

“Pada masa yang sama, peniaga akan memberi tumpuan kepada petunjuk utama inflasi Rizab Persekutuan AS, iaitu perbelanjaan penggunaan peribadi (PCE) yang akan dikeluarkan pada Khamis,” katanya.

Mohd Afzanizam berkata, ringgit dijangka mendatar berbanding dolar AS berikutan sentimen pasaran yang lemah.

Minyak mentah WTI dan Brent, masing-masing diniagakan pada US$77.69 setong dan US$81.60 setong, meningkat 2.43 peratus dan 1.28 peratus berbanding ditutup sebelum ini.

Pada sesi pembukaan, ringgit mengukuh berbanding yen Jepun kepada 2.5613/5674 daripada 2.5636/5671 semasa ditutup pada Jumaat lepas dan naik berbanding pound kepada 5.4619/4745 daripada 5.4709/4782 sebelum ini.

Mata wang tempatan menurun berbanding euro kepada 4.7404/7513 daripada 4.7376/7439.

Ringgit bercampur-campur berbanding mata wang serantau.

Ia meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.1992/2071 daripada 3.2019/2064 dan naik berbanding baht Thailand kepada 12.5503/5850 daripada 12.5856/6074 semasa ditutup pada Jumaat lepas.

Ringgit hampir mendatar berbanding rupiah Indonesia kepada 232.2/232.8 daripada 232.2/232.5 dan tidak berubah berbanding peso Filipina kepada 6.80/6.82 daripada 6.80/6.81 sebelum ini.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement