PUTRAJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana aktiviti judi dalam talian yang dilaporkan kepada pihak berkuasa sepanjang kempen Piala Dunia 2026 berlangsung.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, kegiatan judi dalam talian sememangnya tidak dibenarkan di negara ini dan tindakan boleh diambil sekiranya MCMC menerima aduan daripada orang awam.
“Kita tahu judi dalam talian tidak dibenarkan dalam negara kita. Jadi sekiranya pihak MCMC menerima aduan, maka boleh diambil tindakan,” beliau berkata demikian pada sidang media selepas Sesi Persidangan Meja Bulat Pelaporan Media Selamat dan Bertanggungjawab Mengenai Tingkah Laku Bunuh Diri di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrahajaa (PICC), pada Isnin.
Beliau turut menyeru orang awam supaya menyalurkan aduan kepada MCMC sekiranya mengesan sebarang pautan atau kandungan berkaitan aktiviti perjudian dalam talian.
“Sekiranya anda melihat pautan ataupun kandungan yang bersifat judi dalam talian, sila panjangkan aduan kepada pihak MCMC untuk diambil tindakan undang-undang,” katanya.
Piala Dunia FIFA 2026 akan bermula Khamis ini melibatkan penyertaan 48 negara dan buat julung kalinya kejohanan ini dikendalikan oleh tiga negara tuan rumah iaitu Amerika Syarikat (AS), Kanada dan Mexico.