Skip to main content

Malaysia

PGA tahan lelaki, rampas 34 katak demam bernilai RM17,000

Katak demam bernilai RM17,000 dirampas
Pasukan Gerakan Am (PGA) menahan seorang lelaki dan merampas 34 ekor katak demam (Limnonectes blythii), iaitu spesies hidupan liar dilindungi bernilai RM17,000 dalam serbuan di sebuah stor di Jalan Tras, Bentong, semalam. - Foto Briged Tenggara PGA/via Sinar Harian

KUANTAN: Pasukan Gerakan Am (PGA) menahan seorang lelaki dan merampas 34 ekor katak demam (Limnonectes blythii), iaitu spesies hidupan liar dilindungi bernilai RM17,000 dalam serbuan di sebuah stor di Jalan Tras, Bentong, semalam.

Komander Briged Tenggara PGA SAC Ahmad Radzi Hussain berkata serbuan menerusi Ops Bersepadu Khazanah itu dijalankan kira-kira 5 petang oleh sepasukan anggota Task Force Batalion 7 PGA Kem Bukit Galing bersama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Pahang.

“Lelaki tempatan berusia 66 tahun yang mengaku sebagai pemilik stor itu ditahan selepas gagal mengemukakan lesen atau permit sah bagi menyimpan spesies berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Beliau berkata siasatan awal mendapati katak demam itu dipercayai diperoleh daripada penduduk Orang Asli di sekitar Kampung Gebak dan Kampung Gabong sebelum dijual kepada pembeli terdiri daripada pengusaha kedai makanan eksotik di sekitar Pahang.

“Semua haiwan yang dirampas bersama suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong sebelum tangkapan dan rampasan diserahkan kepada Perhilitan Pahang untuk siasatan lanjut,” katanya.

Ahmad Radzi berkata pihaknya akan terus mempergiat risikan dan pemantauan bagi membanteras aktiviti pemilikan, penyimpanan serta perdagangan hidupan liar yang dilindungi tanpa lesen atau permit sah, sekali gus melindungi spesies berkenaan daripada terus dieksploitasi.

Kes disiasat mengikut Seksyen 60 Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement