Skip to main content

Malaysia

Malaysia pada kedudukan baik terajui pertumbuhan EV ASEAN - BMI

61633420823_KenderaanElektrik.jpg
Malaysia berada dalam kedudukan baik untuk menerajui pertumbuhan permintaan kenderaan elektrik (EV) di luar dua pasaran EV utama ASEAN iaitu Vietnam dan Thailand, disokong oleh asas-asas pengguna berpendapatan tinggi serta daya saing EV yang kian meningkat, menurut BMI. - Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Malaysia berada dalam kedudukan baik untuk menerajui pertumbuhan permintaan kenderaan elektrik (EV) di luar dua pasaran EV utama ASEAN iaitu Vietnam dan Thailand, disokong oleh asas-asas pengguna berpendapatan tinggi serta daya saing EV yang kian meningkat, menurut BMI.

Anak syarikat Fitch Solutions itu memaklumkan kuasa beli pengguna Malaysia yang kukuh selain persaingan sengit EV China, dijangka memacu penggunaan kenderaan itu dalam jangka pertengahan walaupun pengecualian cukai bagi EV diimport sepenuhnya telah berakhir.

“Malaysia dalam kedudukan baik untuk menerajui pertumbuhan ini di luar dua pasaran dominan EV, disokong oleh salah satu asas pengguna paling berpendapatan tinggi di ASEAN dengan 86 peratus isi rumah dijangka berpendapatan boleh guna melebihi US$10,000 pada 2025.

“Angka itu diunjurkan meningkat kepada 90 peratus menjelang 2030,” menurut kenyataan BMI.

Menurutnya, walaupun penamatan pengecualian cukai bagi EV import sepenuhnya berpotensi memberi sedikit tekanan terhadap harga dalam tempoh terdekat, kesannya dijangka dapat dikurangkan berikutan penguasaan EV dikeluarkan di China serta Tesla buatan China yang kekal kompetitif dari segi harga di pasaran Malaysia. 

“Jika digabungkan persaingan sengit jenama China serta kemampuan memiliki EV yang semakin baik, keadaan ini dijangka menyokong peningkatan segmen EV dari segi pembelian kenderaan baharu dalam jangka pertengahan,” menurutnya.

BMI juga menjangkakan jualan EV penumpang di ASEAN meningkat kepada hampir 690,000 unit menjelang 2030 dan seterusnya 916,997 unit menjelang 2035 berbanding 419,547 unit pada 2025.

Unjuran itu memaparkan penembusan EV meningkat kepada 22.7 peratus daripada keseluruhan jualan kenderaan penumpang menjelang akhir tempoh unjuran.

"Seiring kepesatan penggunaan EV di Asia Tenggara, ASEAN kini berkembang daripada pusat permintaan baharu kepada hab pembuatan dan rantaian bekalan yang semakin penting.

“Elemen demografi yang kukuh, peningkatan pendapatan serta dasar kerajaan yang menyokong turut memacu pertumbuhan pesat dalam elektrifikasi kenderaan manakala pengembangan pengeluar automotif China dan strategi penyetempatan yang dilaksanakan oleh kerajaan serantau turut membentuk semula landskap persaingan,” menurutnya.

BMI juga menyifatkan Vietnam dan Thailand akan terus kekal menjadi pasaran EV terbesar rantau ini dan dijangka menyumbang lebih 72 peratus daripada keseluruhan jualan EV penumpang ASEAN pada 2026, disokong oleh dasar kerajaan yang mantap serta pilihan model kenderaan yang makin besar.

“Bagaimanapun, pertumbuhan itu dijangka semakin pelbagai. Menjelang 2035, gabungan bahagian jualan EV penumpang ASEAN yang disumbangkan oleh Vietnam dan Thailand dijangka turun kepada 64 peratus apabila Malaysia dan Indonesia menguasai bahagian permintaan yang lebih besar," menurutnya.

Dari sudut makroekonomi yang lebih besar, BMI menjangkakan peluang industri EV ASEAN juga melangkaui jualan kenderaan semata-mata berikutan kedudukan rantau yang kini merupakan pembekal penting bahan bateri dan bahan mentah EV di peringkat global.

Indonesia dan Filipina menyumbang lebih 68 peratus daripada pengeluaran lombong nikel dunia pada 2024 manakala Indonesia adalah pengeluar nikel bertapis kedua terbesar di dunia.

“Pada masa sama, ASEAN juga mempunyai dedahan unsur nadir bumi (REE) yang besar. Vietnam misalnya menyumbang kira-kira 20 peratus daripada simpanan REE global pada 2023 manakala Myanmar, Thailand dan Malaysia merupakan pengeluar REE yang sudah bertapak bagi tempoh yang lama.

“Sumber ini digunakan dalam motor EV bermagnet kekal serta elektronik kenderaan lebih maju, sekali gus mengukuhkan kepentingan strategik ASEAN sebagai hab utama untuk pengeluar automotif dan rantaian bekalan global,” menurutnya.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement