PUTRAJAYA: Jabatan Perikanan (DOF) mengekalkan pendekatan pengurusan pelesenan vesel penangkapan ikan sebagai salah satu mekanisme untuk memastikan sumber perikanan negara dapat diurus secara mampan.
Selain itu, ia juga mengambil kira keperluan komuniti nelayan yang bergantung kepada sektor perikanan sebagai sumber pendapatan, kata Ketua Pengarahnya Datuk Adnan Hussain.
Beliau berkata pendekatan itu selaras dengan Akta Perikanan 1985 (Akta 317) dan Peraturan-Peraturan Perikanan (Kelautan) (Pelesenan Vesel Penangkapan Ikan Tempatan) 1985.
"Pendekatan ini bertujuan mengawal kapasiti penangkapan ikan agar sumber perikanan negara terus terpelihara dan dapat dimanfaatkan secara berterusan," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Berdasarkan rekod DOF, sebanyak 16,894 vesel sampan direkodkan di seluruh negara pada tahun lepas, dan hasil kajian taksiran sumber perikanan yang dijalankan dari 2013 hingga 2016 pula menunjukkan biomas stok ikan negara hanya berbaki antara 16 hingga 48 peratus berbanding stok asal pada era 1960-an.
Adnan berkata dapatan itu menjadi antara asas kepada pelaksanaan langkah pengurusan sumber perikanan secara berterusan.
“Pengurusan pelesenan bukan sekadar proses pentadbiran, sebaliknya merupakan sebahagian daripada usaha memastikan aktiviti penangkapan ikan dapat diteruskan secara bertanggungjawab tanpa menjejaskan kelestarian sumber,” katanya.
Beliau berkata kementerian itu memahami bahawa aktiviti penangkapan ikan merupakan sumber rezeki utama bagi ramai nelayan, khususnya nelayan tradisional.
Justeru, setiap dasar yang dilaksanakan mengambil kira keseimbangan antara keperluan komuniti nelayan dengan tanggungjawab memelihara sumber perikanan negara supaya manfaatnya dapat dinikmati secara berterusan, katanya.
Adnan berkata DOF juga sentiasa menilai pelaksanaan sistem pelesenan dari semasa ke semasa bagi memastikan ia memenuhi keperluan semasa sektor perikanan serta memberi peluang kepada individu yang benar-benar layak dan bergantung kepada sektor tersebut sebagai sumber pendapatan utama.
Katanya, bagi nelayan yang belum memiliki lesen, Jabatan Perikanan menyediakan peluang melalui Program Pemutihan yang dilaksanakan dari semasa ke semasa bagi mengisi kekosongan lesen yang telah dibatalkan.
Selain itu, nelayan pesisir pantai juga boleh mengemukakan permohonan lesen sampan khas melalui Pejabat Perikanan Daerah untuk dipertimbangkan mengikut syarat dan kriteria yang ditetapkan.
"DOF sentiasa membuka ruang kepada nelayan layak untuk mendapatkan lesen melalui mekanisme yang disediakan.
"Program Pemutihan dan permohonan lesen sampan khas memberi peluang kepada mereka untuk beroperasi secara sah, sekali gus membolehkan akses kepada pelbagai bantuan dan inisiatif kerajaan yang disediakan untuk komuniti nelayan," katanya.
-- BERNAMA