KUALA LUMPUR: Petempatan Orang Asli di Kampung Cot, Mukim Luit, Daerah Maran merupakan sebuah kampung serpihan yang tidak berdaftar dengan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA).
Exco Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Pahang, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata berdasarkan rekod JAKOA, terdapat 12 penama Orang Asli yang mengusahakan tanah di kawasan berkenaan, selaras dengan tuntutan bertulis yang dikemukakan oleh mereka.
Menurutnya, tanah berkenaan telah dipohon oleh sebuah syarikat dan permohonannya diluluskan oleh Pihak Berkuasa Negeri melalui keputusan Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Ke-32/2015 bertarikh 4 November 2015.
Syed Ibrahim berkata bagi menangani isu yang timbul, JAKOA telah mengadakan beberapa siri perbincangan bersama penama Orang Asli yang terlibat bagi mencari jalan penyelesaian terhadap pertindihan tuntutan antara mereka dengan syarikat yang telah menerima kelulusan tersebut.
“Hasil perbincangan awal mendapati hanya enam orang penama masih meneruskan tuntutan melalui JAKOA,” katanya menerusi kenyataan yang disiarkan di Facebook miliknya hari ini.
Menurut Syed Ibrahim dalam sesi perbincangan tersebut, penama terbabit mendakwa kawasan berkenaan merupakan tanah adat mereka.
Namun beliau berkata, dakwaan tersebut tidak dapat disahkan oleh pihak berkuasa yang berkaitan berdasarkan rekod dan fakta yang ada.
“Rekod juga menunjukkan mereka telah mengusahakan tanaman getah dan kelapa sawit di kawasan seluas kira-kira 30 ekar tanpa kebenaran yang sah,” katanya.
Difahamkan, enam penama Orang Asli yang masih mengemukakan tuntutan tersebut berasal dari Kampung Orang Asli Paya Besar, Maran; Kampung Orang Asli Paya Bungor, Kuantan dan Kampung Orang Asli Bukit Rok, Bera, bukannya daripada Kampung Cot.
Pada masa sama, Syed Ibrahim berkata Kerajaan Negeri tetap mengambil pendekatan yang adil dan bertanggungjawab melalui Pejabat Tanah dan Galian (PTG), JAKOA serta Pejabat Daerah dan Tanah Maran.
Ketiga-tiga agensi terbabit diminta meneliti bantuan yang bersesuaian daripada pihak syarikat kepada penama yang terlibat.
“Kerajaan Negeri ingin menegaskan bahawa isu ini telah diberikan perhatian sejak awal melalui pelbagai siri libat urus dan perbincangan bersama semua pihak berkepentingan,” katanya.
Tambahnya, setiap tindakan yang diambil adalah berpandukan kepada peruntukan undang-undang, fakta serta prinsip keadilan, di samping memastikan kebajikan masyarakat Orang Asli terus dipelihara tanpa mengenepikan keputusan yang telah dibuat oleh Pihak Berkuasa Negeri.
“Kerajaan Negeri berharap semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi atau mengeluarkan kenyataan yang boleh mengelirukan masyarakat.
“Ruang sewajarnya perlu diberikan kepada agensi-agensi berkaitan untuk menyelesaikan isu ini secara profesional, berlandaskan undang-undang dan semangat muafakat demi memastikan hak semua pihak terus dihormati,” katanya lagi.
Syed Ibrahim turut berkata bahawa dakwaan berhubung isu pertikaian tanah yang dikaitkan dengan masyarakat Orang Asli di Kampung berkenaan adalah tidak seperti yang digambarkan oleh sesetengah pihak.
Tegasnya, kenyataan yang tular tidak menggambarkan keseluruhan fakta dan latar belakang sebenar kes ini.
Pada 17 Julai, sekumpulan Orang Asli Kampung Sungai Cot, Maran, tiba di pekarangan kediaman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas berjalan kaki selama dua hari bagi merayu campur tangan Kerajaan Persekutuan berhubung pertikaian tanah adat mereka.
Kumpulan yang disertai penduduk kampung, wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta penyokong itu menuntut pengiktirafan dan perlindungan lebih kukuh terhadap hak tanah adat Orang Asli.
Rayuan itu dibuat susulan pertikaian melibatkan puluhan keluarga Orang Asli suku Jakun yang mendakwa tanah warisan nenek moyang mereka dijual kerajaan negeri kepada sebuah syarikat pemaju pada 2015, sebelum beberapa kediaman didakwa dirobohkan dan dibakar bagi mengusir penduduk.
Turut menyertai perjalanan itu ialah Juliana, 34 tahun, yang berjalan kaki bersama anak perempuannya berusia tujuh tahun.
Menurutnya, beliau membawa anaknya kerana kanak-kanak itu sendiri menyaksikan bapanya ditahan serta layanan yang diterima keluarga mereka sepanjang konflik berkenaan.
Hari ini Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan rasa simpati dan dukacita terhadap isu pertikaian tanah yang membabitkan masyarakat Orang Asli di Kampung Sungai Cot, Maran.
Dalam masa yang sama, Tunku Azizah dengan penuh ihsan mempelawa mana-mana keluarga daripada masyarakat Orang Asli berkenaan yang memerlukan petempatan untuk berpindah tinggal di tanah milik baginda di Kuala Wau, Maran.