Skip to main content
Advertisement

Malaysia

Peruntukan besar supaya bomba siap siaga berdepan situasi kecemasan - Nga

TELUK INTAN, 7 Jun -- Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming (tiga, kanan) merangkap Ahli Parlimen Teluk Intan ketika hadir pada Sesi Taklimat Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Perak Fasa 1 dan RTB Teluk Intan Zon A Fasa 2 dan Kerja-Kerja Lain Yang Berkaitan Daerah Hilir Perak dan menyempurnakan gimik perasmikan RTB Teluk Intan Zon A Fasa 2 hari ini.  Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi, Hal Ehwal Pengguna dan Kampung Baru Cina Perak
Nga (tiga, kanan) ketika hadir pada Sesi Taklimat PLSB Sungai Perak Fasa 1 dan RTB Teluk Intan Zon A Fasa 2 dan Kerja-Kerja Lain Yang Berkaitan Daerah Hilir Perak dan menyempurnakan gimik perasmikan RTB Teluk Intan Zon A Fasa 2 hari ini. - Gambar Bernama

TELUK INTAN: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) meluluskan peruntukan besar kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bagi memastikan kesiapsiagaan pasukan itu sentiasa berada pada tahap 100 peratus dalam situasi kecemasan.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata pada tahun ini kementerian berkenaan telah meluluskan RM267 juta untuk menambah baik kelengkapan yang perlu bagi misi mencari dan menyelamat (SAR).

“Di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), kami juga telah meluluskan RM1.3 bilion kepada JBPM untuk perolehan aset-aset penting kerana kami tahu malang tidak berbau, ia akan datang pada masa yang kita tidak bersedia. 

“Oleh kerana itu, JBPM telah diarahkan sentiasa berada dalam keadaan siap siaga 100 peratus,” katanya ketika hadir ke Sesi Taklimat Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Perak Fasa 1 dan RTB Teluk Intan Zon A Fasa 2 serta Kerja-Kerja Lain Yang Berkaitan di Daerah Hilir Perak di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai langkah memperkukuh operasi JBPM, khususnya operasi SAR termasuk membabitkan pendaki wanita Jaslinda Saludin, 49, yang ditemukan selamat di kawasan hutan berhampiran Kampung Lubuk Gaharu dekat Tapah semalam.

Nga berkata kementerian akan memberikan perincian bertulis berkenaan anggaran kos yang terlibat dalam SAR Jaslinda.

“Yang penting, yang hilang (Jaslinda) itu mampu dijumpai, kami nak pastikan itu yang lebih penting. Sudah tentunya dalam setiap sesi ataupun misi, ada kelemahan dan itulah kami cari punca kelemahan dan akan mengatasinya,” katanya ketika ditanya mengenai masalah komunikasi yang menjadi antara cabaran dalam SAR Jaslinda.

Jaslinda dilaporkan menyertai pendakian bersama 13 pendaki lain dan dua Malim Gunung Perhutanan menerusi laluan Trans Spencer Chapman yang bermula pada 2 pagi, 23 Mei menerusi laluan Pos Gedung-Gunung Bah Gading-Gunung Batu Putih-Kuala Woh.

Jaslinda dan seorang lagi pendaki Mohd Hanafi Neikmad, 41, dilaporkan mengalami masalah kesihatan dan berhenti mendaki namun eksekutif rantaian bekalan di sebuah syarikat swasta itu dipercayai meneruskan perjalanan ke puncak sebelum kali terakhir dilihat pada 24 Mei. 

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement