PUTRAJAYA: Penyakit jantung dikenal pasti sebagai punca seorang anggota polis meninggal dunia selepas menjalani aktiviti berkawad di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang, Selangor pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Sepang ACP Norhizam Bahaman dalam kenyataan hari ini berkata keputusan itu diperoleh hasil bedah siasat yang dijalankan terhadap mayat Koperal Khairil Idzhar Rodzi, 37, di Hospital Sultan Idris Shah, Serdang.
“Penjelasan terperinci mengenai perkara ini telah disampaikan secara bersemuka oleh pakar patologi forensik kepada ahli keluarga Allahyarham.
“Jenazah telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Mahmudiah, Bukit Keteri, Perlis pada 11 pagi semalam,” katanya.
Norhizam berkata pihaknya telah menubuhkan jawatankuasa penyiasatan tetap bagi menjalankan siasatan lanjut mengikut prosedur operasi standard secara profesional dan telus untuk memastikan setiap aspek diteliti sepenuhnya, susulan dakwaan tidak berasas yang mendakwa insiden itu mempunyai unsur penganiayaan.
“Orang ramai dinasihatkan agar tidak menyebarkan sebarang spekulasi tidak sahih demi menjaga kebajikan serta menghormati sensitiviti keluarga allahyarham. Seluruh warga IPD Sepang merakamkan ucapan takziah kepada keluarga atas kehilangan ini,” katanya.
Semalam, Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar mengesahkan kematian Khairil Idzhar, yang bertugas di Balai Polis Dato’ Abu Bakar Baginda serta telah berkhidmat dalam Polis Diraja Malaysia selama 17 tahun.
-- BERNAMA