Skip to main content

Malaysia

Pengosongan baki 30 ladang babi di Tanjong Sepat dalam fasa akhir

71770447941_babi.jpg
Langkah penutupan itu melibatkan kira-kira 30 ladang yang masih beroperasi secara berperingkat. - Gambar hiasan

KUALA LANGAT: Proses pengosongan ladang ternakan babi di Tanjong Sepat, di sini berada dalam fasa akhir dengan hanya melibatkan baki 11,000 ekor ternakan dan dijangka selesai sepenuhnya dalam tempoh terdekat.

Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor Datuk Izham Hashim berkata langkah penutupan itu melibatkan kira-kira 30 ladang yang masih beroperasi secara berperingkat, selepas arahan pengosongan dikeluarkan ekoran baki ternakan belum cukup matang untuk dilupuskan sejak Februari lepas.

“Tiada benih (anak babi) baharu dibawa masuk dan semuanya akan disembelih di pusat penyembelihan di Rawang. Jadi, proses itu dijalankan secara berperingkat dan kita jangka akan segera selesai nanti.

“Saya, Menteri Besar (Datuk Seri Amirudin Shari) dan Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (Datuk Chan Foong) baru-baru ini telah mengadakan pertemuan.

“Peralihan itu penting bagi memastikan aktiviti pertanian bernilai tinggi dapat dilaksanakan di atas kawasan seluas 141.6 hektar berkenaan," katanya ketika ditemui pada Program Ibadah Korban Pertubuhan Wartawan Jurugambar Selangor (Wajar) di Surau Haji Hassan, Sijangkang, di sini hari ini.

Izham Hashim berkata satu mesyuarat akan diadakan pada 9 Jun ini bagi meneliti langkah bantuan Kerajaan Persekutuan dan negeri termasuk usaha pemulihan tanah, selain membantu 87 pengusaha ladang terlibat beralih kepada aktiviti pertanian lain yang bersesuaian selepas operasi ternakan dihentikan sepenuhnya.

Sebelum ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Sepat Datuk Borhan Aman Shah dilaporkan berkata semua ladang babi di Tanjong Sepat akan ditutup sepenuhnya menjelang akhir Jun sebelum fasa penguatkuasaan dilaksanakan mulai 1 Julai.

Beliau turut memaklumkan kerajaan negeri memberikan kelonggaran selama enam bulan kepada pengusaha terlibat untuk menyelesaikan urusan termasuk menjual ternakan mereka dalam tempoh yang diberi. 

Tindakan tersebut diambil bagi menghormati titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah yang kekal berpendirian tidak berkenan dengan sebarang aktiviti penternakan haiwan itu di mana-mana daerah di Selangor.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement