SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor menetapkan kadar insentif kemenangan yang setara buat atlet Sukan Malaysia (Sukma) dan Para Sukma 2026 bagi membakar semangat kontinjen negeri memburu kejuaraan keseluruhan.
Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata pengiktirafan dan ganjaran berperingkat mengikut kategori acara itu diberikan tanpa sebarang diskriminasi demi menghargai usaha serta pengorbanan kedua-dua kumpulan atlet terbabit.
"Untuk pingat emas bagi acara individu hingga tiga orang, kita telah menetapkan insentif sebanyak RM10,000 dan sekiranya kita menjadi juara keseluruhan, saya akan naikkan kadar tersebut kepada RM15,000.
"Bagi kumpulan empat hingga 10 orang pula, kita tetapkan RM7,000 untuk setiap individu bagi pingat emas dan jika muncul juara keseluruhan, nilai insentif berkenaan akan dinaikkan kepada RM10,000 seorang," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Selangor ke Temasya Sukma dan Para Sukma 2026 di Dewan Jubli Perak, di sini, hari ini.
Amirudin berkata penetapan kadar ganjaran itu turut meliputi kategori berpasukan yang melibatkan jumlah ahli skuad lebih ramai bagi memastikan keadilan pengagihan.
"Bagi acara membabitkan 10 orang dan ke atas, kita tetapkan RM5,000 bagi pingat emas ataupun menjadi juara, namun kalau kita menang sebagai juara keseluruhan, kita akan naikkan ganjaran tersebut kepada RM7,000 seorang.
"Kadar insentif ini akan terpakai sama untuk atlet Para Sukma kerana kita memegang prinsip kalau kita berbelanja dengan cara yang baik, hasil dan nilai kita juga akan bertambah baik," katanya.
Mengulas mengenai logistik dan pengurusan, Amirudin berkata Selangor dijangka menerima kehadiran sehingga 13,000 orang peserta dan pegawai dari seluruh negara sepanjang temasya berlangsung.
Sebagai kemuncak prakejohanan, beliau sendiri bakal menyertai larian obor terakhir di Sepang pada 9 Ogos ini bersama barisan sukarelawan yang ditugaskan melicinkan perjalanan temasya.
Beliau berkata semua persediaan kewangan dilaksanakan secara berhemah berpandukan nasihat Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam mendepani cabaran ekonomi semasa.
"Saya mendoakan semua atlet SUKMA dan Para SUKMA dapat menampilkan semangat bersukan, solidariti sebagai satu pasukan serta kekuatan padu demi mengharumkan nama Selangor," katanya.
Temasya SUKMA ke-22 yang berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos depan bakal menyaksikan Selangor menghantar 1,029 orang wakil merangkumi 854 atlet dan 191 pegawai dengan sasaran 80 pingat emas menerusi 37 jenis sukan, manakala kontinjen Para SUKMA dianggotai 258 orang terdiri 176 atlet dan 82 pengiring serta pegawai dengan sasaran 60 pingat emas.
Terdahulu, Amirudin menyerahkan bendera kepada Ketua Kontinjen Sukma Selangor yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Serdang Abbas Salimmi Che Adzmi@Azmi diikuti Ketua Kontinjen Para Sukma Selangor yang juga ADUN Kampung Tunku Lim Yi Wei.
-- BERNAMA