KUALA LUMPUR: Pengeluaran Bahan Api Penerbangan Mampan (SAF) global dijangka mencecah sekitar 2.4 juta tan pada tahun 2026, mewakili hanya 0.8 peratus daripada penggunaan bahan api penerbangan dan dengan kos sebanyak US$4.3 bilion kepada syarikat penerbangan, menurut anggaran Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA).
Ketua Pengarah IATA Wille Walsh berkata nampaknya ia satu lagi tahun yang mengecewakan untuk pengeluaran SAF, memandangkan lima tahun selepas komited untuk mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050, pengeluaran SAF hanya akan menyumbang 0.8 peratus daripada penggunaan bahan api syarikat penerbangan tahun ini.
Sasaran untuk memenuhi 65 peratus daripada keperluan kita pada tahun 2050 menjadi semakin sukar dengan setiap tahun berikutan dasar kerajaan yang tidak tersusun secara berkesan dan ketara kurangnya minat daripada syarikat minyak, katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.
Beliau yang mewakili lebih 370 syarikat penerbangan, menyumbang kira-kira 85 peratus daripada trafik udara global berkata kejutan terhadap sektor tenaga ketika ini sepatutnya menambah lagi desakan kepada pembangunan tenaga boleh baharu termasuk SAF.
“Bagaimanapun, kita masih belum melihat sama ada kejutan tenaga, keperluan untuk membangunkan kebebasan tenaga dan pekerjaan atau memberi keutamaan dalam mengurangkan perubahan iklim menjadi kenyataan dalam insentif yang diperlukan untuk mewujudkan pasaran SAF yang berdaya maju.
Bagi mempercepatkan peningkatan SAF, IATA menyeru tindakan yang diselaraskan merentasi empat keutamaan, iaitu memperluaskan bekalan tenaga boleh baharu untuk menyokong pengeluaran SAF, memastikan feedstocks dan tenaga bersih mencukupi tersedia dan memastikan akses terbuka kepada infrastruktur bahan api termasuk saluran paip, penyimpanan dan sistem bahan api lapangan terbang untuk membolehkan persaingan yang adil dan pengedaran yang cekap.
Ketiga adalah untuk memperkukuh sokongan dasar melalui penyusunan berkesan insentif pengeluaran dan kerangka kerja pelaburan yang memberikan kepastian serta mengurangkan risiko sebelum sebarang mandat dikuatkuasakan.
Akhir sekali, membolehkan pasaran SAF global dengan jumlah mencukupi pada harga berdaya maju secara komersial adalah penting untuk kemampanan kewangan dan ekonomi syarikat penerbangan.
Seterusnya, sistem book-and-claim (tempah dan tuntut) adalah penting untuk mengubah pasaran SAF daripada peringkat tempatan kepada global dengan menjadikannya boleh diakses oleh syarikat penerbangan dan pengeluar SAF tanpa mengira domisili mereka bermaksud sistem tersebut boleh digunakan oleh mana-mana syarikat penerbangan, tidak kira dari negara mana sekalipun syarikat itu berasal atau didaftarkan.
“Pasaran SAF global juga mesti disokong oleh piawaian diselaraskan untuk mewujudkan peraturan berkekalan dan persaingan adil,” katanya.
Sementara itu, IATA memaklumkan bahawa kaji selidik terhadap penumpang (April 2026) menunjukkan sokongan yang kukuh dan konsisten untuk penyahkarbonan pengangkutan udara.
“Sebanyak 89 peratus penumpang percaya industri itu harus terus mengurangkan pelepasan karbon walaupun kerajaan mengurangkan usaha mereka dan jumlah yang sama melihat penerbangan sebagai penting dan sebagai sesuatu yang mesti dijadikan mampan, daripada menyekat penggunaannya.
“Sokongan ini diperkukuh oleh kesediaan untuk bertindak. Kira-kira dua pertiga penumpang (66 peratus) mengatakan mereka sanggup membayar lebih untuk mengimbangi pelepasan karbon dan hampir 88 peratus menjangkakan harga tiket akan meningkat hasil daripada pelaburan kemampanan,” menurut IATA.
-- BERNAMA