Skip to main content

Malaysia

Penduduk di sempadan Negeri Sembilan terima limpahan ekonomi KLIA

[TB]_Sempadan Negeri Sembilan, ekonomi KLIA_ASTRO AWANI
Kawasan sekitar Nilai yang terletak berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), pelbagai limpahan ekonomi dapat dilihat di sini hasil daripada pembangunan hab pengangutan udara itu. - Astro AWANI

NILAI: Kedudukan strategik kawasan sempadan Negeri Sembilan berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) membuka peluang ekonomi kepada penduduk menerusi perniagaan rumah inap desa, parkir kenderaan dan kereta sewa.

Penduduk di kawasan seperti Labu, Nilai dan Kampung Jijan menerima manfaat secara langsung apabila permintaan terhadap perkhidmatan berkaitan lapangan terbang kekal tinggi sepanjang tahun.

Pengusaha rumah inap desa di Residensi KLIA, Ruhiyah Samsuddin berkata, lokasi penginapan miliknya yang hanya kira-kira 18 kilometer dari KLIA sentiasa mendapat sambutan, terutama ketika musim haji, umrah, konvokesyen Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan acara di Litar Antarabangsa Sepang.

“Sebagai pemilik homestay, saya rasa homestay dekat sini memang dapat sambutan sebab dekat dengan KLIA. 

"Masa musim umrah atau haji atau cuti sekolah memang orang cari dekat sini. Waktu musim haji, umrah atau konvo USIM memang penuh homestay sini,” katanya ketika ditemui Astro AWANI, di sini, pada Khamis.

Menurutnya, kadar sewaan juga meningkat ketika acara besar seperti MotoGP.

“Kalau ada acara besar macam MotoGP, itu harga dia meningkat sikit sebab program besar, jadi kita boleh naikkan harga dekat situ untuk homestay,” katanya.

Beliau berkata, rumah inap desa terus menjadi pilihan kerana menawarkan ruang lebih luas serta kemudahan seperti dapur yang sesuai untuk keluarga.

Sementara itu, pengusaha parkir di Kampung Jijan, Mohamad Maelah berkata, beliau menyediakan lot parkir lengkap dengan perkhidmatan penghantaran ke KLIA dan KLIA2 pada kadar RM20.

Ia mendapat sambutan dari mereka yang ingin ke luar negara atau luar negeri untuk tempoh lama, caj mahal bagi parkir kenderaan menjadi kerisauan.

“Pelanggan yang parking sini saya pakejkan sekali dengan pengangkutan ke KLIA. Untuk bawa daripada sini ke KLIA atau KLIA2 saya caj RM20,” katanya.

Menurutnya, selain parkir, permintaan terhadap kereta sewa turut meningkat bagi pelanggan yang mempunyai urusan di KLIA, majlis perkahwinan dan konvokesyen di institusi pengajian berhampiran.

Ini membuktikan limpahan ekonomi dari KLIA memberi manfaat kepada penduduk di sempadan Negeri Sembilan melalui pelbagai peluang perniagaan dan sumber pendapatan.

Must Watch Video

Advertisement