KUALA LUMPUR: Malaysia akan terus berpegang kepada proses perundangan dan tidak akan mengubah pendirian sekiranya ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low diberi pengampunan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata sebarang keputusan mengenai pengampunan adalah urusan dalaman kerajaan AS dan tidak akan mempengaruhi pendirian Malaysia.
“Pendirian Malaysia jelas. Kita ikut jalur hukum. Itu soal keputusan negara Amerika Syarikat, itu urusan mereka.
“Tetapi pendirian kita tidak terpengaruh, tidak terganggu atau tergugat oleh keputusan Amerika Syarikat,” katanya kepada media selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid As-Sodiqin, Taman Kobena.
Media antarabangsa sebelum ini melaporkan Jho Low dikatakan sedang berusaha mendapatkan pengampunan daripada Trump.
Menurut laporan The Wall Street Journal, permohonan tersebut dikemukakan beberapa minggu lalu dan jika diluluskan, ia boleh memberi kesan terhadap pertuduhan jenayah yang dihadapinya di AS.
Bagaimanapun, sehingga kini tiada pengesahan rasmi daripada White House mengenai status permohonan berkenaan.
Sementara itu, laporan The Atlantic yang memetik tiga sumber yang mengetahui perkara itu menyebut nama Jho Low antara kira-kira 250 individu yang sedang dipertimbangkan untuk menerima pengampunan sempena sambutan ulang tahun ke-250 kemerdekaan AS.
Turut dilaporkan berada dalam senarai berkenaan ialah penyanyi rap Pras Michel, yang disabitkan kesalahan berkaitan kempen lobi haram yang dikaitkan dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), serta Nicole Daedone yang berdepan pertuduhan berkaitan konspirasi buruh paksa.