KUALA LUMPUR: Pendidikan tinggi kini menjadi platform strategik dalam memperkukuh kerjasama antara Malaysia dan negara-negara Afrika menerusi pembangunan bakat berdaya saing global, pemerkasaan inovasi serta sokongan kepada pelaburan bernilai tinggi.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli Abdul Halim berkata pendidikan, perdagangan dan pelaburan tidak lagi boleh dilihat sebagai sektor yang berasingan, sebaliknya saling berkait sebagai tonggak utama yang menyokong perkongsian pasaran baharu.
Beliau berkata menerusi pendidikan, negara mampu melahirkan bakat terbaik dan berdaya saing di peringkat global dengan sokongan universiti bertaraf dunia yang kini tersenarai dalam kelompok 100 terbaik dunia.
“Melalui perdagangan, pendidikan tinggi turut berperanan sebagai pemacu ekonomi aktif dengan memperluas mobiliti pelajar antarabangsa serta kerjasama akademik global.
“Melalui pelaburan pula, kita merangsang inovasi dengan mewujudkan hubungan kukuh dan berterusan antara universiti, industri dan kerajaan,” katanya ketika berucap pada Simposium Memperingati Hari Afrika 2026 bertemakan Pendidikan, Perdagangan dan Pelaburan di Universiti Sunway di sini, hari ini.
Turut hadir ialah Duta Zimbabwe ke Malaysia, Constance Chemwayi yang juga Dekan Ketua-Ketua Misi Afrika (AHOM).
Adam Adli berkata Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yakin pendidikan merupakan pemangkin utama kepada kerjasama ekonomi kerana saluran perdagangan yang mampan memerlukan kecerdasan budaya, manakala pelaburan lestari bergantung kepada tenaga kerja yang bersedia menghadapi masa depan.
Menyentuh hubungan Malaysia-Afrika, Adam Adli berkata Malaysia amat menghargai persahabatan yang terjalin sekian lama dengan negara-negara Afrika, termasuk melalui kehadiran ribuan pelajar Afrika di universiti tempatan, kerjasama akademik yang bermakna serta hubungan rakyat dengan rakyat yang semakin kukuh.
Beliau berkata momentum itu turut diperkukuh di peringkat tertinggi termasuk pertemuan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Pengerusi Suruhanjaya Kesatuan Afrika (AUC) Mahamoud Ali Youssouf di Addis Ababa pada November tahun lepas.
Katanya pelancaran Forum Pendidikan Tinggi Malaysia-Afrika yang julung kali diadakan di Nairobi pada November tahun lepas serta lawatan rasmi Presiden Afrika Selatan Matamela Cyril Ramaphosa ke Malaysia pada Oktober tahun lepas mencerminkan hubungan yang semakin erat antara Malaysia dan benua Afrika.
Beliau berkata terdapat potensi besar untuk memperluas kerjasama dalam mobiliti pelajar dan akademik, penyelidikan bersama, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), pembelajaran digital, sekuriti makanan, teknologi hijau serta inovasi abad ke-21.
-- BERNAMA