Skip to main content

Malaysia

Pendaki hilang: Perkembangan SAR, tindakan dibincang dalam mesyuarat esok

TAPAH, 30 Mei -- Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad (dua kiri), mendengar penerangan daripada wakil Persatuan Badan Bukan Kerajaan (NGO) PELINDUNG, Liang Neo Song Wee (dua kanan), mengenai rakaman ‘camera trap’ yang dipasang di kawasan dipercayai lokasi mangsa pendaki wanita yang hilang, Jaslinda Saludin, 49, ketika ditemui di Pusat Kawalan Hadapan (PKH) Bomba di Batalion 3 PGA, Bidor, hari ini.   --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Sabarodzi berkata mesyuarat itu akan diadakan di Ibu Pejabat Polis Daerah Tapah. - Gambar Bernama

TAPAH: Status semasa dan perkembangan operasi mencari dan menyelamat (SAR) pendaki wanita Jaslinda Saludin, 49, yang hilang di Gunung Batu Putih dekat sini sejak 24 Mei, akan dibincangkan dalam satu mesyuarat esok.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sabarodzi Nor Ahmad berkata mesyuarat itu akan diadakan di Ibu Pejabat Polis Daerah Tapah.

“Mesyuarat turut akan menyentuh tentang tindakan susulan selepas 10 hari operasi SAR dijalankan di kawasan berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata sebanyak 13 Orang Asli dari Pos Titom, Hulu Jelai, Pahang membantu secara sukarela bagi operasi pencarian di Gunung Rayu.

Beliau berkata kesemua sukarelawan Orang Asli itu dipercayai sebahagian daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Team Pelindung di bawah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) yang aktif menjalankan aktiviti di sekitar hutan berkenaan.

“Kumpulan ini memulakan usaha pencarian secara sukarela sejak empat hari lepas di kawasan berkenaan,” katanya.

Sebelum ini, Jaslinda dilaporkan bersama 13 lagi individu dan dua Malim Gunung Perhutanan (MGP) memulakan pendakian Trans Spencer Chapman pada 2 pagi, 23 Mei melalui laluan Pos Gedung-Gunung Bah Gading-Gunung Batu Putih-Kuala Woh.

Jaslinda dan seorang lagi pendaki, Mohd Hanafi Neikmad, 41, mengalami masalah kesihatan dan berhenti mendaki, bagaimanapun kerani di sebuah syarikat swasta itu dilaporkan meneruskan perjalanan ke puncak gunung dan kali terakhir dilihat pada 24 Mei.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement