BUKIT MERTAJAM: Pulau Pinang merekodkan pencapaian keseluruhan sebanyak 75 peratus di bawah Inisiatif Strategik Visi Penang2030, bagi meningkatkan penyertaan wanita dan warga emas dalam kehidupan masyarakat, sekali gus mencerminkan komitmen kerajaan negeri terhadap pembangunan yang inklusif dan seimbang.
Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata pencapaian itu, membuktikan usaha berterusan kerajaan negeri memastikan golongan wanita termasuk ibu tunggal dan warga emas terus memainkan peranan penting dalam pembangunan negeri.
“Dalam aspek kesukarelawanan pula sebanyak 17,241 sukarelawan wanita dan warga emas telah direkodkan, iaitu 86 peratus daripada sasaran 20,000 sukarelawan menjelang tahun 2030.
“Ini membuktikan pembangunan negeri bukan sahaja dipacu oleh pertumbuhan ekonomi, malah turut disokong kekuatan komuniti yang aktif dan prihatin,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Jelajah Ketua Menteri Bersama Komuniti Ibu Tunggal Parlimen Batu Kawan, di Masjid Jamek Kebun Sireh di sini hari ini.
Turut hadir Pengerusi Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam negei Lim Siew Khim, Pengerusi Perdagangan dan Perpaduan Masyarakat negeri Goh Choon Aik dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tengah Gooi Hsiao-Leung
Chow yang juga Ahli Parlimen Batu Kawan berkata kerajaan negeri juga terus memperkukuh pelaksanaan Gender Responsive and Participatory Budgeting (GRPB), menerusi Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC) bagi memastikan setiap dasar, program dan agihan sumber benar-benar memenuhi keperluan rakyat, khususnya wanita.
Beliau berkata komitmen itu, diperkasakan pada tahun ini menerusi inisiatif Bandar Mesra Usia, yang mewajibkan penilaian implikasi belanjawan terhadap faktor jantina serta penuaan pada peringkat akar umbi.
Dalam pada itu, beliau berkata sebanyak 4,052 usahawan wanita kini terlibat dalam ekosistem keusahawanan negeri, bersamaan 81 peratus daripada sasaran interim Penang2030.
“Program PENMentor yang dilaksanakan PWDC telah memberi manfaat kepada 428 usahawan wanita dengan purata peningkatan pendapatan sebanyak 30 peratus selepas mengikuti program berkenaan,” katanya.
Chow berkata perkembangan pesat teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI), automasi dan pendigitalan menuntut usahawan wanita, terutama ibu tunggal, meningkatkan kemahiran digital, memanfaatkan platform e-dagang serta menguasai pemasaran dalam talian bagi memperluas pasaran.
Sehubungan dengan itu, beliau berkata Program Jelajah Ketua Menteri Bersama Komuniti Ibu Tunggal, bukan sahaja menyediakan platform mempromosikan produk dan perkhidmatan usahawan, malah membuka peluang kerjasama dengan sektor korporat, agensi kerajaan dan organisasi masyarakat.
Chow turut menyeru sektor swasta supaya melihat usahawan mikro tempatan, khususnya ibu tunggal sebagai rakan strategik dalam rantaian bekalan negeri, dengan membuka lebih banyak peluang kepada mereka sebagai pembekal, pengeluar produk tempatan dan rakan niaga.
-- BERNAMA