Skip to main content

Malaysia

‘Pelik, kenapa bantah?’ – Loke pertahankan perluasan akses UEC ke IPTA

Astro AWANI
Anthony menyifatkan bantahan pembangkang terhadap kemasukan lepasan UEC ke IPTA sebagai pelik. - Gambar/ Astro AWANI

KUALA LUMPUR: Tindakan pihak pembangkang yang mempertikaikan usaha memperluas akses pendidikan tinggi kepada rakyat Malaysia adalah sesuatu yang pelik, kata Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook.

Beliau berkata, keputusan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) membenarkan kemasukan calon lepasan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) ke program tertentu di institusi pendidikan tinggi awam (IPTA), adalah sebahagian daripada komitmen kerajaan untuk memastikan pendidikan bersifat inklusif.

Anthony berkata, langkah tersebut merupakan sebahagian daripada komitmen kerajaan untuk membuka lebih banyak peluang kepada lepasan sistem pendidikan di luar Kementerian Pendidikan (KPM).

“Ini komitmen kerajaan untuk memberikan laluan kepada lepasan sistem pendidikan di luar KPM untuk melanjutkan pelajaran ke IPTA. Bukan UEC sahaja, sijil tahfiz pun dapat.

“Jadi, langkah ini sebenarnya menambah akses kepada rakyat Malaysia untuk mendapat pendidikan tinggi dan ia adalah sesuatu yang sangat baik untuk pembangunan modal insan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Stesen Keretapi Segambut Utara di ibu negara hari ini.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh serta Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Fadlun Mak Ujud.

Pada Khamis, media melaporkan KPT telah mengumumkan peluang kepada calon lepasan sekolah atau institusi tahfiz serta Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) dan UEC untuk mengikuti program tertentu di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA).

Bagi calon lepasan SMPC/UEC, antara program dikenal pasti ialah Sarjana Muda Sastera Pengajian Bahasa Cina dengan Kepujian, Sarjana Muda Bahasa dan Linguistik Cina, Sarjana Muda Sastera Pengajian Cina dan Sarjana Muda Bahasa Cina dengan Pendidikan.

Bagi calon lepasan sekolah atau institusi tahfiz, antara program dikenal pasti ialah Diploma dan Sarjana Muda Dakwah, Diploma dan Sarjana Muda Al-Quran dan As-Sunnah, Sarjana Muda Pendidikan Tahfiz serta Sarjana Muda Pengajian Islam (Dakwah).

Menurut KPT, keputusan itu dibuat menerusi Mesyuarat Jemaah Menteri yang memperhalusi laluan kemasukan pelajar daripada sistem pendidikan di luar aliran kebangsaan ke institusi berkenaan.

Langkah itu bagaimanapun mencetuskan perdebatan apabila terdapat kebimbangan dalam kalangan sesetengah pihak bahawa peluasan laluan kemasukan tersebut berpotensi menjejaskan peluang pelajar Melayu dan bumiputera ke IPTA.

Dalam pada itu, Anthony turut melahirkan kekesalan terhadap pihak pembangkang yang dilihat cuba mempolitikkan inisiatif tersebut, termasuk membangkitkan kebimbangan berkaitan peluang pendidikan.

“Saya pelik mengapa pembangkang bantah? Pembangkang ini seolah-olah membantah usaha rakyat mendapat akses pendidikan. Kita mahu mendidik anak-anak kita mendapat pendidikan yang lebih baik, tetapi mereka (pembangkang) hanya tahu membantah tanpa asas.

“Tindakan mereka itu secara tidak langsung menafikan hak anak-anak kita untuk belajar ke peringkat yang lebih tinggi,” katanya.

 

Must Watch Video