MELAKA: Seorang pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Melaka mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini hari ini, atas tujuh pertuduhan menerima suapan berjumlah RM1,950, tahun lepas.
Mohd Nazrul Md Yasin, 39, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohamad Kamil Nizam.
Dia dituduh menerima lima suapan, masing-masing berjumlah RM300 daripada warga emas, Muhammad Omar, 69, sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang ke atas anaknya, Nurul Alya, 23, kerana melindungi warga asing, Kusmiyati, yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri di dalam premis yang merupakan satu kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63.
Lelaki itu didakwa melakukan perbuatan tersebut di sebuah restoran di Jalan Muar, Merlimau, Jasin antara 1 Jan 2025 hingga 31 Mei 2025.
Tertuduh juga didakwa menerima dua suapan, masing-masing berjumlah RM300 dan RM150 bagi kesalahan serupa antara 3 Jun 2025 dan 10 Julai 2025 di lokasi sama.
Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara suapan itu, jika suapan tersebut dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000, mana-mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya SPRM Sharina Farhana Nor Sa'ari menawarkan jaminan RM20,000 dengan syarat tambahan iaitu pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah, melapor diri sekali sebulan di pejabat SPRM dan tidak mengganggu mana-mana saksi pendakwaan.
Mohd Nazrul yang tidak diwakili peguam memohon agar jaminan dikurangkan kerana dia telah ditahan kerja dan perlu menyara ibu serta empat anak yang masih bersekolah.
Mahkamah membenarkan jaminan RM12,000 dengan seorang penjamin serta membenarkan syarat tambahan yang dimohon pihak pendakwaan.
-- BERNAMA