Skip to main content

Malaysia

PBT di Kelantan disaran perluas pemasangan CCTV - Polis

KOTA BHARU, 15 Jun -- Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat menjawab pertanyaan pemberita berhubung penculikan pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Mohd Yusoff berkata langkah memaksimumkan penggunaan CCTV bukan sahaja dapat memperkukuh aspek keselamatan, malah membantu mengurangkan keperluan rondaan serta menjimatkan penggunaan tenaga kerja. - Gambar fail/BERNAMA

Pihak berkuasa tempatan (PBT) di Kelantan disarankan supaya memperluas pemasangan sistem kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan awam sebagai usaha membantu pencegahan serta siasatan kes jenayah.

Ketua Polis Kelatan Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata lebih 80 peratus tangkapan kes jenayah di negeri itu dibantu rakaman CCTV.

Beliau berkata liputan CCTV menyeluruh termasuk di persimpangan lampu isyarat dan lokasi tumpuan awam, merupakan antara elemen penting dalam konsep Bandar Selamat yang dapat membantu polis mengenal pasti suspek serta menjejaki pergerakan mereka.

“Lebih 80 peratus tangkapan di negeri ini dibantu oleh rakaman CCTV, namun kekurangan liputan kamera di kawasan awam menyebabkan pegawai penyiasat sering mendapatkan kerjasama pemilik premis dan rumah bagi memperoleh rakaman untuk membantu siasatan.

“Mengikut konsep Bandar Selamat, antara ciri yang perlu ada ialah pencahayaan dan CCTV,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Beliau berkata walaupun rakaman CCTV tidak semestinya dijadikan bahan bukti utama di mahkamah, teknologi itu banyak membantu siasatan dengan memberikan petunjuk penting bagi mengenal pasti serta menahan penjenayah.

Menurutnya, kebanyakan kes jenayah yang berjaya diselesaikan di Kelantan dibantu melalui rakaman CCTV milik premis perniagaan dan kediaman berhampiran.

Mohd Yusoff berkata langkah memaksimumkan penggunaan CCTV bukan sahaja dapat memperkukuh aspek keselamatan, malah membantu mengurangkan keperluan rondaan serta menjimatkan penggunaan tenaga kerja.

Beliau berkata berdasarkan pengalamannya ketika mengikuti lawatan sambil belajar ke Sydney, Australia pada 2013, penggunaan CCTV secara menyeluruh di bandar itu membolehkan pemantauan dilakukan dari pusat kawalan sekali gus mengurangkan keperluan rondaan fizikal polis.

“Mereka memantau segala-galanya dari pusat kawalan di balai kerana sistem CCTV mereka menyeluruh di dalam bandar. Rakyat tahu mereka diperhatikan dan penjenayah pula berasa takut untuk bertindak,” katanya.

Beliau berkata penggunaan kenderaan peronda di bandar berkenaan lebih bersifat taktikal, antaranya ditempatkan di kawasan hiburan pada waktu malam bagi mencegah pergaduhan, sekali gus menjimatkan kos operasi.

Mengulas penggunaan teknologi itu di Malaysia, beliau berkata sistem pemantauan di ibu negara kini dilengkapi lebih 10,000 unit CCTV meliputi laluan utama, sekali gus memudahkan polis mengesan pergerakan suspek.

Menurut beliau, penggunaan teknologi itu membolehkan polis menjejaki suspek secara berterusan menerusi rakaman CCTV dari satu lokasi ke lokasi lain sehingga tangkapan berjaya dilakukan.

“Kalau semua PBT pasang CCTV lagi baik. Ia bukan hanya untuk polis, tetapi untuk keselamatan rakyat,” katanya.

-- BERNAMA

 

TAG: polis, PBT, CCTV, liputan

Must Watch Video

Advertisement