Skip to main content

Malaysia

Operasi penguatkuasaan imigresen diteruskan walau depot tahanan melebihi kapasiti - Saifuddin Nasution

81706943510_TBImigresen.jpg
Saifuddin Nasution berkata isu kesesakan depot sering mengundang kritikan pelbagai pihak, namun kerajaan perlu mengimbangi antara penguatkuasaan undang-undang dan kebajikan tahanan. - Gambar hiasan

PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak akan mengurangkan momentum operasi penguatkuasaan imigresen terhadap pendatang asing yang melanggar Akta Imigresen 1959/63, walaupun 19 depot tahanan jabatan itu kini beroperasi melebihi kapasiti.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata tindakan penguatkuasaan perlu diteruskan kerana melibatkan aspek keselamatan serta kedaulatan negara, selain memastikan warga asing yang berada di Malaysia mematuhi undang-undang.

"Negara kita terbuka, mereka boleh datang cari rezeki tapi negara kita juga ada undang-undang yang mesti mereka patuhi.

"Jangan masuk kosong tanpa dokumen, jangan terlebih tinggal, jangan salah guna pas. Kalau kita temui, kuasa kita bawa ke depot. 

"Lokman (Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Imigresen Datuk Lokman Effendi Ramli) tak boleh kurangkan langsung momentum serbuan sebab ini isu keselamatan dan isu kedaulatan juga," katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan KDN di sini, hari ini.

Beliau berkata isu kesesakan depot sering mengundang kritikan pelbagai pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang membangkitkan aspek kemanusiaan, namun kerajaan perlu mengimbangi antara penguatkuasaan undang-undang dan kebajikan tahanan.

Berkongsi intipati pertemuan dua hala antara Malaysia dan Indonesia sebelum ini, beliau berkata Presiden Indonesia Prabowo Subianto menyatakan penghargaan kepada Malaysia kerana memberikan peluang kepada rakyat republik itu mencari rezeki di negara ini, namun menegaskan tindakan mengikut undang-undang wajar diambil sekiranya mereka melakukan pelanggaran.

"Beliau (Prabowo) tegaskan sekiranya rakyat Indonesia melanggar undang-undang domestik Malaysia, maka Kerajaan Malaysia perlu mengambil tindakan mengikut undang-undang negara ini," katanya.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement