Skip to main content

Malaysia

OCS Melor ditahan kerja sementara tunggu siasatan SPRM, JIPS

KOTA BHARU, 15 Jun -- Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat menjawab pertanyaan pemberita berhubung penculikan pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Mohd Yusoff (foto) berkata siasatan terhadap pegawai berkenaan sedang dijalankan secara selari oleh kedua-dua agensi itu, manakala proses menahan kerja pegawai terbabit sedang dilaksanakan sementara menunggu siasatan dimuktamadkan. -Gambar fail/Bernama

KOTA BHARU: Seorang Ketua Polis Balai (OCS) di Kelantan yang sedang disiasat berhubung dakwaan rasuah akan ditahan kerja sementara bagi membolehkan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) dijalankan tanpa sebarang gangguan.

Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata siasatan terhadap pegawai berkenaan sedang dijalankan secara selari oleh kedua-dua agensi itu, manakala proses menahan kerja pegawai terbabit sedang dilaksanakan sementara menunggu siasatan dimuktamadkan.

Beliau berkata polis tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pegawai atau anggota yang terbukti terbabit dalam amalan rasuah dan pemerasan.

“Kalau kita dapat bukti, tiada kompromi. Kita akan siasat dan ambil tindakan mengikut peraturan.

“Saya sudah berkali-kali mengingatkan soal integriti kepada semua pegawai dan anggota sejak mula bertugas di Kelantan,” katanya pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Peringkat Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini.

Semalam, media melaporkan OCS tersebut direman tujuh hari oleh Mahkamah Majistret bagi membantu siasatan berhubung dakwaan menerima rasuah RM500 sebagai balasan tidak mengambil tindakan terhadap seorang warga asing.

Berikutan itu, perintah reman hingga 26 Julai terhadap suspek berusia 41 tahun itu mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah selepas menerima permohonan pegawai SPRM.

Dalam pada itu, Mohd Yusoff berkata kes membabitkan OCS dan dakwaan salah laku rasuah itu adalah kes terpencil serta tidak mencerminkan keseluruhan warga PDRM di Kelantan.

Justeru, beliau menggesa semua Ketua Polis Daerah (OCPD), ketua bahagian dan penyelia terus memperkukuh pemantauan terhadap aspek integriti bagi memastikan penyalahgunaan kuasa dapat dibendung sepenuhnya.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement