Skip to main content

Malaysia

Negeri Sembilan kini beralih sebagai hab pengeluar bernilai tinggi - MITI

JOHOR BAHRU, 27 April -- Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Sim Tze Tzin bercakap kepada pemberita pada Sesi Media Timbalan Menteri bersama Ahli Parlimen (MP) Johor, Serta Dewan Perniagaan dan Industri Cina Johor Bahru (JBCCCI) di sini hari ini._BERNAMA
Sim Tze Tzin (foto) berkata projek pembangunan antaranya NS Semiconductor Valley dan Aerospace Valley menjadikan Negeri Sembilan bukan lagi sekadar negeri yang memberi sokongan kepada Lembah Klang, tetapi sebagai pesaing global dengan kekuatan tersendiri. -Gambar fail/Bernama

SEREMBAN: Pembangunan perindustrian di Negeri Sembilan mula memasuki fasa baharu apabila negeri itu kini beralih daripada hab pemasangan dan sokongan kepada pengeluar bernilai tinggi, kata Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Sim Tze Tzin.

Beliau berkata projek pembangunan antaranya NS Semiconductor Valley dan Aerospace Valley menjadikan Negeri Sembilan bukan lagi sekadar negeri yang memberi sokongan kepada Lembah Klang, tetapi sebagai pesaing global dengan kekuatan tersendiri.

“Kerajaan Persekutuan akan bekerjasama rapat dengan kerajaan negeri bagi memastikan sektor industri terus berkembang maju, selain membantu menyediakan pembiayaan kukuh, kepakaran teknikal serta akses ke pasaran antarabangsa,” katanya kepada pemberita selepas majlis sesi dialog dan lawatan kerja ke Negeri Sembilan, di sini, hari ini.

Pada masa sama, beliau berkata kerajaan melalui Malaysian Industrial Development Finance Bhd (MIDF) turut menyalurkan pembiayaan kumulatif sebanyak RM127.18 juta kepada industri di negeri tersebut.

Katanya, pada tahun lepas, sebanyak RM40.6 juta diperuntukkan bagi memacu automasi, transformasi digital dan penggunaan teknologi hijau dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana di Negeri Sembilan.

Selain itu, Sim berkata transformasi tersebut turut didorong oleh peningkatan ketara pelaburan yang diluluskan di negeri itu, iaitu bernilai hampir RM20 bilion pada 2025, sekali gus meletakkan Negeri Sembilan sebagai destinasi pelaburan keenam tertinggi di Malaysia.

Beliau berkata pembangunan Lembah Wawasan Malaysia 2.0 (MVV 2.0) dan pertumbuhan taman perindustrian di negeri itu juga mewujudkan 22,790 peluang pekerjaan dalam tempoh lima tahun.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata krisis Asia Barat tidak memberi kesan yang sangat ketara kepada perancangan pembangunan di MVV 2.0, sebaliknya pelabur sedia ada terus optimis dalam meningkatkan pelaburan di Malaysia.

Katanya, kestabilan politik negeri turut memainkan peranan penting dalam menarik keyakinan pelabur asing kerana mereka yakin dengan dasar dan hala tuju kerajaan negeri yang konsisten serta jelas.

-- BERNAMA

 

 

 

 

Must Watch Video