KUALA LUMPUR: Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) terus memperluas perkhidmatannya melalui program rintis penghantaran ubat menggunakan dron di Tawau Sabah sekali gus memperkukuh peranannya daripada hab digital kepada pemudah cara penyampaian perkhidmatan kesihatan.
Ketua Pejabat NADI Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Dr Mohd Arif Adenan berkata, projek yang dijangka bermula sekitar September atau Oktober itu merupakan sebahagian daripada inisiatif Perkhidmatan Pintar NADI yang memberi tumpuan kepada penyelesaian masalah komuniti, khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman.
Beliau berkata, projek berkenaan akan melibatkan kira-kira 12 kampung di Tawau dengan kerjasama Kementerian Kesihatan (KKM), Suruhanjaya Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), kerajaan negeri dan beberapa agensi lain menerusi pendekatan keseluruhan kerajaan.
"Program sebegitu akan membantu mengurangkan beban perjalanan pesakit di kawasan pedalaman untuk mendapatkan bekalan ubat, selain menjimatkan kos dan masa, khususnya bagi mereka yang tinggal jauh dari hospital," katanya kepada Bernama.
Mohd Arif berkata, kajian Universiti Malaysia Sabah (UMS) mendapati penduduk di kawasan pedalaman Sabah perlu menempuh perjalanan sekitar 20 hingga 30 kilometer untuk mendapatkan rawatan di hospital, sekali gus menjadikan kos pengangkutan sebagai cabaran utama.
“Sekiranya program rintis itu berjaya, MCMC akan mempertimbang untuk memperluas ke kawasan lain yang mempunyai keperluan sama,” katanya.
Beliau berkata, ketika ini, program penghantaran ubat melalui pos telah dilaksanakan dengan Pos Malaysia menjadikan NADI sebagai pusat sehenti bagi pengambilan ubat oleh komuniti setempat.
Selain itu, katanya, pusat komuniti itu turut menyediakan pemeriksaan kesihatan asas untuk pesakit yang memerlukan pemantauan berkala, sekali gus mengurangkan keperluan mereka hadir ke hospital bagi pemeriksaan rutin seperti tekanan darah.
"Sekiranya bacaan kesihatan pesakit tidak normal, NADI akan menghubungkan mereka terus dengan pihak hospital untuk pemeriksaan lanjut.
“Inisiatif ini bukan sahaja mengurangkan kos perjalanan pesakit, malah membantu mengurangkan kesesakan di hospital," katanya.
Sementara itu, katanya, pada masa ini MCMC tidak bercadang menambah bilangan NADI secara fizikal memandangkan pelaksanaan dasar 1DUN 1NADI telah memastikan setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh negara mempunyai sekurang-kurangnya sebuah pusat berkenaan.
Mohd Arif berkata, fokus kini adalah untuk memperluas capaian perkhidmatan NADI 2.0 secara maya dan meningkatkan jangkauan kepada komuniti yang berada jauh daripada pusat berkenaan.
“Ini susulan kajian Merdeka Centre yang mendapati kebanyakan pengguna NADI hanya terdiri daripada penduduk dalam lingkungan satu hingga dua kilometer dari lokasi pusat komuniti itu,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, MCMC sedang meneliti kemungkinan memperluaskan rangkaian NADI ke lokasi yang masih belum mempunyai kemudahan tersebut seperti kem tentera dan berek polis, yang dikenal pasti mempunyai keperluan terhadap perkhidmatan digital dan pembangunan komuniti.
Di peringkat antarabangsa, Mohd Arif berkata, pengiktirafan yang diterima daripada Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU), termasuk kejayaan meraih Anugerah World Summit on the Information Society (WSIS) di Geneva tahun lepas serta pengiktirafan sebagai Pusat Transformasi Digital ITU yang ke-16 tahun ini, membuka peluang kepada NADI menjalin kerjasama dengan lebih banyak organisasi antarabangsa.
Beliau berkata, NADI kini merancang memperkenalkan lebih banyak kursus berasaskan mikrokelayakan dengan kerjasama institusi dan badan antarabangsa seperti Cisco dan Hewlett Packard (HP) bagi membolehkan peserta memperoleh sijil yang diiktiraf industri sekali gus meningkatkan kebolehpasaran mereka, khususnya golongan belia di luar bandar.
-- BERNAMA