ALOR SETAR: Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) telah menyerbu sebuah premis industri yang dijadikan sekolah untuk etnik Rohingya di kawasan Kompleks Perniagaan Shahab Perdana, dekat sini, semalam.
Datuk Bandar Alor Setar Datuk Abdul Gafar Yahya berkata serbuan itu dilakukan susulan isu yang tular di media sosial baru-baru ini, berhubung dakwaan kewujudan sebuah sekolah yang dikendalikan untuk etnik Rohingya.
“Serbuan telah dilaksanakan melalui Bahagian Penguatkuasaan MBAS dan Jabatan Perancangan Pembangunan, bagi mengesahkan maklumat serta menilai pematuhan premis terhadap peraturan dan undang-undang yang berkuat kuasa.
“Hasil siasatan mendapati premis berkenaan telah disewakan dan digunakan sebagai sebuah sekolah yang menempatkan seramai 26 kanak-kanak etnik Rohingya, yang menetap di kawasan berhampiran,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata siasatan turut mendapati yuran sebanyak RM100 sebulan telah dikenakan kepada setiap pelajar.
“Susulan penemuan itu, Bahagian Penguatkuasaan MBAS telah merekodkan butiran pemilik premis dan penyewa bagi tujuan siasatan lanjut, serta tindakan bersama agensi berkaitan mengikut bidang kuasa masing-masing.
“Kes akan diambil tindakan atas kesalahan salah guna premis industri dan akan dirujuk kepada Jabatan Pendidikan Negeri Kedah, berhubung pengoperasian institusi pendidikan tanpa kebenaran, serta Jabatan Imigresen bagi penelitian terhadap status permit warga asing yang terlibat,” katanya.
Abdul Gafar berkata MBAS akan terus komited bagi memastikan setiap premis di dalam kawasan banda raya itu, mematuhi syarat penggunaan yang diluluskan serta segala peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa demi menjaga ketenteraman awam dan kepentingan masyarakat.
-- BERNAMA