ADA insan yang hadir dalam hidup kita hanya beberapa jam, namun, kenangannya kekal bertahun.
Ada juga yang tidak pernah kita kenali secara dekat, tetapi saat pemergiannya, hati terasa seolah-olah kehilangan seorang sahabat lama.
Demikianlah kisah Hafeez Al-Bukhary Zulkefly.
Tatkala berita mengenai keadaan beliau yang tenat akibat kanser kolon mula tersebar, seluruh negara seakan-akan berhenti sejenak.
Media sosial dipenuhi dengan doa. Ribuan tangan menadah harapan.
Nama Hafeez disebut dalam munajat yang mungkin tidak pernah diketahui jumlahnya.
Tidak kira mengenalinya secara peribadi atau sekadar pernah melihat wajahnya di alam maya, rakyat Malaysia berkongsi satu perasaan yang sama – mereka mahu Hafeez kembali sihat.
Namun, perancangan Allah sentiasa lebih indah daripada apa yang mampu difahami manusia.
Akhirnya, Hafeez yang begitu disenangi ramai itu dijemput pulang oleh Sang Pencipta.
Pemergian Hafeez bukan sekadar kehilangan buat keluarga dan sahabat terdekat.
Ia turut dirasai ribuan insan yang pernah disentuh dengan kebaikan akhlaknya, kelembutan tutur katanya dan keikhlasan khidmatnya di awan biru.
Sebagai seorang pramugara yang membawa jemaah umrah dan haji menuju Tanah Suci, Hafeez sebenarnya melakukan pekerjaan yang jauh lebih besar nilainya daripada sekadar sebuah kerjaya.
Di balik seragam yang kemas dan senyuman yang sentiasa terukir, beliau menjadi penenang kepada jemaah yang pertama kali menaiki pesawat, menjadi pembantu kepada warga emas yang memerlukan perhatian serta menjadi sahabat kepada mereka yang sedang meniti perjalanan penuh makna menuju Baitullah.
Tidak semua orang mampu melaksanakan tugas itu dengan hati yang tulus.
Tetapi Hafeez melakukannya.
Allahyarham melakukannya bukan kerana arahan kerja atau kerana gaji – jauh sekali kerana pujian.
Sebaliknya, semua itu adalah memang sifat dirinya.
Maka tidak hairanlah ramai jemaah, khususnya golongan warga emas yang pernah dibantunya, begitu menyayanginya.
Di mata mereka, Hafeez bukan sekadar seorang kru kabin - dia seperti anak sendiri.
Seorang anak yang tidak pernah jemu bertanya khabar. Seorang anak yang ringan tangan membantu mengangkat beg. Seorang anak yang sentiasa mengukir senyuman walaupun mungkin dirinya sendiri sedang bergelut dengan keletihan.
Barangkali itulah sebabnya ketika beliau bertarung dengan penyakit, begitu ramai yang bersedih.
Kerana manusia tidak menangisi rupa paras dan tidak menangisi populariti, tetapi menangisi kebaikan.
Dan Hafeez meninggalkan terlalu banyak kebaikan untuk dilupakan.
Kisah Hafeez sebenarnya mengajar satu realiti kehidupan yang sering kita abaikan.
Bahawa akhirnya, bukan jawatan yang membuatkan seseorang dikenang, bukan juga kekayaan atau kemewahan.
Yang kekal hidup dalam ingatan manusia ialah budi pekerti.
Akhlak yang baik adalah warisan paling mahal yang boleh ditinggalkan.
Malah ada ketikanya, ia lebih panjang usianya daripada hayat pemiliknya sendiri.
Saya sendiri menjadi saksi kepada hakikat itu.
Dalam satu perjalanan umrah sekitar Julai 2024, saya berpeluang menerima layanan daripada arwah Hafeez.
Pertemuan itu tidak lama, tidak cukup panjang untuk membolehkan kami menjadi sahabat.
Bahkan, tidak cukup juga untuk saya mengenali seluruh kisah hidupnya.
Namun ada manusia yang hanya memerlukan beberapa minit untuk meninggalkan kesan seumur hidup.
Hafeez adalah salah seorang daripadanya. Beliau sentiasa berbudi bahasa, tidak lokek menawarkan bantuan dan sentiasa bercakap dengan sopan.
Dan yang paling saya ingat, beliau tidak pernah lekang daripada senyuman - senyuman yang menenangkan, senyuman yang membuatkan orang berasa dihargai dan senyuman yang lahir daripada hati yang baik.
Hari ini, apabila wajahnya kembali terlintas di fikiran, saya sedar bahawa memori itu akan kekal bersama saya sampai bila-bila.
Barangkali, saya terlupa banyak perkara sepanjang hidup ini.
Namun air muka yang tenang itu, serta layanan ikhlas yang pernah diberikan, akan sentiasa saya simpan dalam lipatan kenangan.
Begitulah hebatnya nilai sebuah adab. Ia mampu hidup lebih lama daripada jasad.
Dan hari ini, ketika kita semua mengucapkan selamat tinggal, rasa sedih itu bukan hanya kerana seorang pramugara telah pergi.
Kita bersedih kerana seorang insan yang baik telah meninggalkan dunia.
Seorang anak muda yang membuktikan bahawa kelembutan hati masih mempunyai tempat dalam masyarakat yang semakin sibuk dan keras.
Seorang insan yang mengajarkan bahawa melayani manusia dengan kasih sayang bukan perkara kecil di sisi Tuhan.
Kini perjuangannya telah berakhir. Tiada lagi kesakitan yang perlu ditanggung.
Tiada lagi malam yang panjang di wad. Tiada lagi pertarungan yang melelahkan tubuh dan jiwa.
Berehatlah, Hafeez.
Hilang sudah sakitmu.
Hilang sudah deritamu.
Yang tinggal hanyalah doa-doa yang tidak pernah putus daripada mereka yang menyayangimu.
Dan percayalah, selama mana orang masih menyebut namamu dengan kasih, selama itulah kebaikanmu akan terus hidup.
Al-Fatihah buat Hafeez Al-Bukhary Zulkefly.
Semoga Allah SWT menempatkanmu dalam kalangan hamba-hambaNya yang beriman dan mengurniakan ganjaran terbaik atas segala kebaikan yang pernah kamu taburkan sepanjang hayatmu.
Aamin, amin, ya rabbal alamin!