Skip to main content

Dunia

Israel lancar serangan berhampiran hospital, roboh rumah di selatan Lubnan

Sumber: REUTERS
Di Tyre, dron peninjau Israel dilihat terbang pada altitud rendah di ruang udara bandar Tyre dan kawasan sekitar. - Gambar Reuters

BEIRUT: Tentera Israel melancarkan serangan udara baharu dan merobohkan rumah di selatan Lubnan pada Khamis, meskipun perjanjian rangka kerja ditandatangani minggu lepas antara Beirut dan Tel Aviv bagi pengunduran Israel secara berperingkat, lapor Anadolu Ajansi memetik agensi berita Lubnan, NNA.

Menurut NNA, sebuah dron Israel melancarkan serangan berhampiran Hospital Ghandour di bandar Nabatieh al-Fawqa, Daerah Nabatieh.

Di daerah Bint Jbeil, pesawat perang Israel melancarkan serangan udara ke atas bandar Braashit, namun belum ada laporan segera mengenai kematian, kecederaan atau kerosakan harta benda.

Tentera Israel turut menjalankan operasi merobohkan beberapa rumah di bandar Hadatha, manakala satu lagi letupan besar dilaporkan berhampiran bandar Kounine dan Tayri di daerah sama.

Di Tyre, dron peninjau Israel dilihat terbang pada altitud rendah di ruang udara bandar Tyre dan kawasan sekitar. 

Tentera Israel belum memberikan sebarang ulasan mengenai serangan atau operasi merobohkan rumah itu. Tentera Israel lazimnya mendakwa menyasarkan pejuang dan infrastruktur Hizbullah, namun pihak berkuasa Lubnan berkata ramai mangsa terdiri daripada orang awam.

Serangan itu berlaku meskipun perjanjian rangka kerja tajaan Amerika Syarikat (AS) ditandatangani antara Lubnan dan Israel pada 26 Jun, yang memperuntukkan pengunduran Israel secara berperingkat dari seluruh wilayah Lubnan, bermula dengan dua zon perintis yang tidak dinyatakan.

Pegawai Lubnan menyifatkan perjanjian itu sebagai langkah pertama ke arah memulihkan kedaulatan negara di seluruh wilayahnya dan memudahkan kepulangan penduduk yang kehilangan tempat tinggal.

Hizbullah menolak perjanjian itu dan menyifatkannya sebagai “tidak wujud” serta “memalukan”, sambil menegaskan sebarang usaha mengaitkan pengunduran Israel dengan pelucutan senjata kumpulan itu melangkaui “garis merah”.

Menurut angka rasmi terkini Lubnan, serangan Israel ke atas negara itu sejak 2 Mac mengorbankan 4,298 orang dan mencederakan 12,196 yang lain.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

Must Watch Video

Advertisement