GEORGE TOWN: Dua buah rumah mengalami kerosakan selepas dihempap sebatang pokok yang tumbang dalam kejadian di Jalan Batu Gantung, Air Itam di sini malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.48 malam itu, sebuah kereta jenis Nissan Almera yang diletakkan di garaj salah sebuah rumah turut mengalami kerosakan akibat dihempap pokok berkenaan selepas kejadian angin kuat.
Bagaimanapun, tiada mangsa dilaporkan cedera dalam insiden tersebut.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.48 malam sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Paya Terubong bergegas ke lokasi.
“Jentera tiba di lokasi pada jam 8.55 malam dan mendapati sebatang pokok telah tumbang lalu menghempap bahagian bumbung hadapan dua unit rumah.
“Kejadian itu turut menjejaskan sebuah Nissan Almera yang berada di garaj rumah berkenaan. Tiada mangsa dilaporkan terlibat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, komander operasi melakukan penilaian awal sebelum mengarahkan Pasukan Keluaran Operasi (PKO) menjalankan kerja-kerja memotong dan mengalihkan pokok tumbang.
“Selepas memastikan tiada lagi risiko atau bahaya di lokasi, kawasan kejadian diserahkan kepada pihak Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) untuk tindakan lanjut.
“Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 11.35 malam,” katanya.
Tambahnya, operasi berkenaan melibatkan tujuh anggota termasuk penyelia dengan bantuan jentera LFRT dan EMRS daripada BBP Paya Terubong.
Turut membantu di lokasi ialah pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), MBPP, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Bukit Bendera dan Kampung Pisang. - Sinar Harian