PUTRAJAYA: Pembinaan Masjid Warisan di hadapan Menara Tun Razak Exchange (TRX) merupakan keperluan awam yang sah serta hak bagi komuniti Muslim di kawasan berkenaan yang tidak wajar dipolemikkan, kata Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Zamri Zainal Abidin.
Beliau berkata projek itu sepatutnya wujud sejak kawasan berkenaan mula beroperasi memandangkan ia keperluan kemudahan ibadat asas bagi ribuan pekerja Muslim di pusat kewangan utama negara itu.
"Gesaan sesetengah pihak yang mempertikaikan pembinaan ini adalah tidak berasas dan bertentangan dengan semangat kesatuan dalam aspirasi Malaysia MADANI," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau mengambil contoh pembangunan di KLCC dan Merdeka 118 yang masing-masing mempunyai kemudahan masjid tanpa menjejaskan aktiviti ekonomi, sekali gus membuktikan rumah ibadat dan sektor komersial boleh wujud secara harmoni dalam satu ekosistem bandar moden.
"Justeru, adalah tidak adil untuk terus menafikan kemudahan ibadat asas kepada ribuan warga kerja Muslim yang memberikan sumbangan besar kepada ekonomi negara di TRX," katanya.
Zamri turut menolak dakwaan bahawa laungan azan akan mengganggu aktiviti perniagaan dengan menegaskan tiada undang-undang atau dasar yang mewajibkan operasi komersial dihentikan semasa azan.
"Kerangka Malaysia MADANI yang diperjuangkan oleh kerajaan menekankan kesejahteraan inklusif, keluhuran institusi dan kemakmuran bersama. Pembinaan Masjid Warisan di TRX adalah manifestasi tepat nilai-nilai ini," katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata YADIM menggesa semua pihak termasuk pemimpin politik agar tidak menjadikan isu pembinaan masjid sebagai bahan eksploitasi politik yang boleh mencetuskan ketegangan tidak perlu.
Selasa lepas, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan berkata pembinaan Masjid Warisan di hadapan Menara TRX akan diteruskan seperti dirancang.
Beliau berkata projek itu telah lama dirangka dan akan dilaksanakan bagi memperkukuh peranan institusi masjid sebagai pusat keharmonian masyarakat.
Zulkifli berkata pihak yang mempunyai kebimbangan berhubung pembinaan masjid itu boleh mendapatkan penjelasan daripada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan.
-- BERNAMA