SUBANG JAYA: Lelaki yang diselamatkan dalam kes culik membabitkan tuntutan wang tebusan RM7 juta di Selangor pada Ahad lepas kini ditahan mengikut Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk M. Kumar mengesahkan perkara itu dan memaklumkan lelaki berusia 44 tahun terbabit ditahan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman di Selangor semalam.
Beliau berkata semakan mendapati lelaki berkenaan mempunyai rekod jenayah melibatkan kes komersial dan siasatan awal turut mendapati mangsa dipercayai terlibat dalam sindiket dadah.
“Ketika ditahan, lelaki terbabit positif dadah hasil ujian saringan air kencing,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya di sini hari ini.
Dalam perkembangan sama, Kumar berkata polis turut menahan dua lagi individu berusia lingkungan 30-an yang disyaki terlibat dalam kes culik tersebut di sekitar Selangor semalam.
Beliau berkata seorang daripada dua individu berkenaan merupakan bekas anggota polis yang telah dipecat pada 2023 kerana terbabit dalam kes dadah.
“Kedua-dua lelaki terbabit direman 10 hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut,” katanya sambil menambah pihaknya masih mengesan beberapa individu lain yang disyaki terlibat dalam kes tersebut.
Pada Ahad lepas, polis menyelamatkan seorang lelaki yang dilaporkan diculik dan menahan enam individu termasuk seorang wanita, berusia antara 30 hingga 46 tahun, yang dipercayai menuntut wang tebusan RM7 juta dalam operasi khas di Selangor.
Kesemua suspek direman 10 hari mengikut Seksyen 12 Akta Penculikan 1961 dan kes disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penculikan 1961 serta Akta Dadah Berbahaya 1952.
-- BERNAMA