Skip to main content

Malaysia

Malaysia perlu seimbang dalam urus isu pelarian - Saifuddin

PUTRAJAYA, 8 Jun -- Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berucap pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Auditorium Setia Perkasa, Kompleks Setia Perkasa hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berucap pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Auditorium Setia Perkasa, Kompleks Setia Perkasa hari ini. - Foto Bernama

PUTRAJAYA: Malaysia perlu menguruskan isu pelarian secara bijaksana dan seimbang dengan mengambil kira aspek keselamatan negara serta pertimbangan kemanusiaan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata isu berkenaan antara perkara penting yang perlu diberi perhatian dan diuruskan secara menyeluruh oleh kerajaan dalam tempoh terdekat.

“Kita perlu seimbangkan antara keselamatan dan kemanusiaan. Mereka yang datang ke sini bukan kerana mempunyai banyak pilihan, tetapi kerana melarikan diri daripada konflik, penindasan dan kemusnahan yang berlaku di tempat asal mereka,” katanya ketika berucap dalam Perhimpunan Bulanan Kementerian, pada Isnin.

Beliau berkata dalam menguruskan isu tersebut, kerajaan tidak akan sama sekali berkompromi terhadap aspek keselamatan negara dan dakwaan bahawa identiti atau dokumen diberikan secara sewenang-wenangnya kepada pelarian adalah tidak berasas.

“Ada fitnah di luar yang mengatakan bahawa kita memberi identiti diri sewenang-wenangnya. Seolah-olah negara kita ini macam negara 'koboi'. Begitu cuba digambarkan.

"Aspek keselamatan tidak akan kita kompromi sama sekali. Negara ini mempunyai sistem dan undang-undang yang perlu dipatuhi,” katanya lagi.

Jelasnya, Malaysia bukan negara yang menandatangani Konvensyen Pelarian 1951, manakala peranan pendaftaran dan penempatan semula pelarian ke negara ketiga dilaksanakan oleh Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).

Bagaimanapun, katanya perubahan landskap geopolitik dunia menyaksikan semakin kurang negara ketiga yang bersedia menerima pelarian, sekali gus menyebabkan sebahagian besar mereka terus berada di negara transit termasuk Malaysia untuk tempoh yang lebih lama.

Beliau berkata keadaan itu menimbulkan pelbagai cabaran termasuk kebimbangan masyarakat berkaitan aspek ekonomi, sosial dan keselamatan yang perlu ditangani oleh kerajaan.

“Sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab, kita perlu menguruskan perkara ini. Ia bukan semudah menutup pintu atau menghalau mereka keluar. Kita perlu menguruskannya dengan bijaksana dan penuh ihsan,” katanya.
 

Must Watch Video

Advertisement